Skip to main content

Jenayah

Air Mani Di Dubur Bayi Sembilan Bulan, Suami Pengasuh Dijel 30 Tahun, 13 Sebatan

liwat bunuh bayi

Sekilas

  • Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah meliwat dan membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di Shah Alam.
  • Bukti DNA dan hasil bedah siasat mengesahkan wujudnya penderaan seksual dan kecederaan pada bayi tersebut sebelum kematiannya akibat 'smothering'.
  • Kejadian berlaku pada April 2021 di rumah Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, dan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkap tertuduh.

Selepas empat tahun didakwa meliwat dan membunuh anak asuhan isterinya yang berusia sembilan bulan, seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat.

Mohamed Badruldin Mohamed, 40, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.

Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan manakala 30 tahun, 12 sebatan bagi kes membunuh bayi malang itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021.

Berdasarkan fakta kes, terdapat kesan asid deoksiribonukleik (DNA) dan ekstrak air mani milik tertuduh di dubur dan usus besar bayi itu.

Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh ketika itu, Dr Rohayu Shahar Adnan juga mengesahkan wujudnya kecederaan akibat objek tumpul pada dubur mangsa.

“Punca kematian ialah ‘smothering’ (keadaan yang melemaskan), sampel DNA juga mengesahkan terdapat ekstrak sel sperma milik OKT pada dubur dan rektum si mati.

“Tertuduh didapati melakukan persetubuhan luar tabii. Ada juga luka koyak dan lebam yang boleh disebabkan oleh jari atau zakar, sekali gus mengukuhkan dakwaan penderaan seksual terhadap bayi tersebut,” menurut fakta kes.

Pada hari kejadian, pengasuh, Norhidayah Ab Hamid memberitahu ibu mangsa, Robiatul' Adawiah Aziz bahawa anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tidak sedarkan diri.

Pada jam 7 malam, sepasukan doktor dan jururawat membuat teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan dan empat jenis ubat jantung selain menstabilkan tekanan darah.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.18 tengah hari, 28 April 2021.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang antara jam 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim sementara pembelaan oleh peguam, Azizul Shariman.

Semasa prosiding, Shahrul Ekhsan memohon mahkamah mengenakan hukuman mati kepada tertuduh kerana mangsa dalam kes ini merupakan seorang bayi yang masih kecil, telah diperlakukan sedemikian rupa oleh tertuduh yang dewasa.

“Ibu bapa mangsa perlu bekerja lalu menghantarnya untuk dijaga oleh isteri Mohamed Badruldin tetapi telah diperlakukan sedemikian kerana nafsu serakah tertuduh.

“Sedangkan mangsa merupakan seorang bayi yang lemah maka dia sepatutnya disayangi dan diberi perhatian,” katanya.

Pada 12 Mei 2021, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan itu, di hadapan Majistret, Muhammad Iskandar Zainol.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement