Sekilas
- Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Banting mengalami kecederaan serius selepas ditikam antara 14 hingga 16 kali, termasuk di bahagian paru-paru kiri.
- Bapa mangsa memaklumkan kejadian itu hanya diketahui selepas guru menghubunginya, dan suspek yang berusia 15 tahun dikenali mangsa dari kelas sebelumnya.
- Mohd Firuz berharap pihak sekolah memperketatkan kawalan keselamatan untuk mengelakkan insiden sama berulang di masa hadapan.
Pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin mengalami kecederaan serius selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali.
Perkara itu dimaklumkan bapanya, Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang berkata, kebanyakan tikaman mengenai bahagian belakang badan dan muka sehingga menyebabkan paru-paru kiri anaknya cedera.
“Paru-paru kiri turut terkena dan kini doktor memasukkan tiub untuk mengeluarkan darah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Menurut Mohd Firuz, kejadian yang menimpa anak keduanya daripada tiga beradik itu hanya diketahuinya selepas menerima panggilan daripada guru mangsa kira-kira jam 9.30 pagi.
“Sebaik menerima panggilan, saya terus bergegas ke hospital. Apabila sampai, saya lihat keadaan anak memang teruk.
“Saya dimaklumkan terdapat antara 14 hingga 16 kesan tikaman di bahagian belakang badan dan muka,” katanya.
Firuz berkata, anaknya kini berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.
Menurutnya, mangsa mengenali suspek yang berusia 15 tahun itu kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama ketika Tingkatan Dua.
“Dimaklumkan suspek kini sedang ‘dicutikan’ kerana menjalani rawatan peribadi. Saya tidak pasti sama ada dia mempunyai dendam terhadap anak saya atau tidak.
“Saya rasa anak saya bukan sasaran, tetapi kebetulan berada berhampiran suspek ketika kejadian. Anak juga tidak pernah mengadu pernah diganggu suspek sebelum ini,” katanya.
Mengulas mengenai tahap keselamatan di sekolah, Mohd Firuz meluahkan rasa kesal dan berharap pihak sekolah dapat memperketatkan kawalan keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Saya harap pihak sekolah mengambil langkah lebih tegas dalam aspek keselamatan supaya insiden seperti ini tidak berulang dan pelajar dapat belajar dalam keadaan lebih selamat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian