Sekilas
- Pelakon Rita Rudaini berkongsi berita gembira apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, menerima Anugerah Pengetua 2026 sempena Hari Anugerah Kecemerlangan di sekolah.
- Rita menegaskan kejayaan anak bukan bergantung pada baka, tetapi hasil usaha, semangat dan sokongan ibu bapa yang tidak pernah putus doa.
- Beliau juga menekankan pengorbanan dan kasih sayang ibu di sebalik setiap kejayaan anak, serta mendoakan agar anaknya terus mengejar impian.
Pelakon, Rita Rudaini berkongsi berita gembira apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin menerima Anugerah Pengetua 2026 sempena Hari Anugerah Kecemerlangan di sekolah.
Menerusi perkongsian di Threads, Rita berkata kejayaan anak bukan bergantung kepada baka, sebaliknya hasil daripada usaha, semangat dan sokongan yang diberikan olehnya.
“Penutup tirai tingkatan 5 untuk Anugerah Pengetua 2026. Jangan tanya lagi soal baka tetapi lihatlah pada kerja keras, semangat dan harapan.
“Di sebalik siapa anak-anak kita hari ini, ada ibu yang berdiri di belakang mereka dengan doa yang tak pernah berhenti,” tulisnya.
Menurut Rita, setiap kejayaan turut hadir bersama pengorbanan yang tidak terlihat, malah seorang ibu akan sentiasa berada di sisi anak walaupun melalui pelbagai cabaran dan kesedihan.
“Di sebalik setiap kejayaan, ada pengorbanan yang jarang diceritakan. Ada tangan yang pernah mengusap air mata. Ada bahu yang menjadi tempat bersandar dan ada hati yang berkali-kali terluka. Namun tetap memilih untuk percaya.
“Kerana anak-anak tidak lahir dengan kejayaan. Mereka dibentuk oleh kasih sayang, didikan dan perjuangan.
“Saya bangga dengan awak. Alhamdulillah, tahniah si juara. Kejarlah impian. Saya sokong dengan doa. Setiap kejayaanmu adalah milik-Nya,” ujarnya.