Isteri pendaki yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang di Muallim, Perak, mengakui hatinya berat ketika membenarkan suaminya menyertai aktiviti berkenaan.
Nur Faratin Mohd Othman, 31, berkata, kali terakhir dia berbual dengan Allahyarham suaminya, Mustaqqeem Mansoor, 34, pada malam Jumaat minggu lalu sebelum memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober.
Advertisement
Menurutnya, hatinya sedikit berat ketika menghantar suaminya menyertai kumpulan mendaki itu kerana ketika ini musim hujan lebat.
"Saya tanya betul ke nak pergi sebab hujan, bahaya. Tapi dia jawab tak mengapa kerana kawan-kawan semua tahu apa nak buat.
"Biasanya dia pergi tak pernah ada masalah. Saya tahu kalau dah masuk (mendaki), susah nak hubungi.
"Jadi saya pesan padanya sebelum masuk (mendaki) hubungi saya," ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Slim River.
Nur Faratin berkata, Allahyarham suami ada menghubungi jam 2.40 petang memaklumkan dia akan memulakan pendakian.
"Baru dua atau tiga jam lepas kami berhubung melalui telefon itu saya mula rindu dan sempat 'post' (membuat hantaran) video dengan keterangan jumpa pada Isnin.
"Dia (suami) pun sempat 'repost' (membuat hantaran semula) dan cakap jumpa Isnin," katanya yang tidak menyangka menyangka pesanan itu menjadi kata terakhir mereka.
Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu ditemukan sudah meninggal dunia di puncak gunung, jam 3.30 petang semalam, dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung, dipercayai akibat hipotermia.
Jenazah mangsa dibawa turun dari puncak gunung itu oleh pasukan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang tadi menggunakan helikopter.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Penaga, Pulau Pinang malam ini sebaik proses bedah siasat di Hospital Slim River selesai.
Sumber: Harian Metro