Sekilas
- Astro Audio News berjaya meraih tempat ketiga dalam Anugerah Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) kategori radio melalui laporan bertajuk “Reformasi dan Digitalisasi: Malaysia Sedang Berubah”.
- Wartawan Muhammad Najib Md Nazri membawa pulang sijil dan hadiah wang tunai RM5,000 atas laporan yang membincangkan transformasi digital dan pengurangan birokrasi di bawah Kerajaan MADANI.
- Kejayaan ini mengukuhkan reputasi Astro Audio News sebagai pemenang bersiri, dengan pujian daripada pimpinan Astro Audio yang menekankan usaha berpasukan dan komitmen tinggi dalam menghasilkan laporan berkualiti.
Astro Audio News meneruskan momentum kecemerlangan dengan meraih tempat ketiga pada Anugerah Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi kategori radio.
Anugerah tersebut dimenangi oleh wartawan Astro Audio News, Muhammad Najib Md Nazri, yang membawa pulang sijil dan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 menerusi laporannya bertajuk “Reformasi dan Digitalisasi: Malaysia Sedang Berubah”.
Menerusi karya yang di menanginya, karya tersebut membincangkan reformasi di bawah Kerajaan MADANI dalam mentransformasikan cara negara berfungsi melalui digitalisasi, pengurangan birokrasi dan kawalan ketirisan perbelanjaan.
Ia menegaskan bahawa transformasi ini melangkaui sekadar penambahbaikan sistem, malah mengubah secara asas cara sesebuah negara beroperasi.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam Majlis Apresiasi Reformasi Kerenah Birokrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam isnin, 29 Jun 2026.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi Najib dan Astro Audio News sebagai pemenang bersiri, selepas turut meraih kemenangan di Anugerah Media MPI-Petronas 2025 serta Anugerah Media PERKESO tahun lalu.
Mengulas kejayaan itu, Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Audio News, Moganadas Muniandy, menyatakan bahawa pencapaian ini adalah hasil usaha gigih, komitmen berterusan, dan semangat kerja berpasukan.
Beliau turut berkata kejayaan ini membuktikan Astro Audio News, yang berpegang pada slogan Accurate, Reliable, and Newsworthy, sentiasa melahirkan wartawan berbakat yang mampu bersaing baik di dalam industri.
Sementara itu, Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, turut meluahkan rasa bangga atas pencapaian ini dan berharap ia akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga bilik berita Astro Audio News untuk terus menghasilkan laporan berkualiti tinggi serta mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.