Pelakon, Amir Nafis mendedahkan bahawa dia berpegang teguh pada prinsip ibunya yang menasihati agar tidak mudah menghukum seseorang hanya kerana kesilapan yang pernah dilakukan.
Amir atau nama penuhnya Amir Nafis Ma’arof, 33, berkata dia percaya bahawa setiap banduan berhak diberi peluang kedua kerana manusia mampu berubah menjadi lebih baik.
Advertisement
"Bagi pendapat saya, kita perlu memberi peluang kedua pada bekas banduan. Saya memang berpegang teguh pada nasihat mak saya iaitu 'hate the sin, not the sinner. Kita boleh mengecam tindakan seseorang tetapi jangan membenci individu tersebut. Saya percaya manusia boleh berubah menjadi baik, jahat, gila dan segalanya," katanya.
Pelakon yang membawa watak sebagai Farid dalam filem Banduan itu turut berkata bahawa setiap individu mempunyai jalan hidup tersendiri, dan tiada siapa berhak menentukan takdir orang lain.
"Kita tiada kuasa untuk menentukan kehidupan orang lain, jika kita sendiri tidak tahu kesudahan kehidupan kita akan datang. Berilah peluang pada sesiapa sahaja. Jika individu tersebut tidak boleh menerima nasihat tersebut, itu adalah antara dia dan tuhan," ujarnya.
Filem Banduan terbitan Astro Shaw dan produksi Number Twenty One Media, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 6 November ini.
Filem arahan Kroll Azry ini merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India iaitu Kaithi.
Selain Amir, filem ini bakal manampilkan barisan pelakon tanah air iaitu Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.