Sekilas
- Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut dipercayai akibat didera di sebuah pusat jagaan di Pulau Pinang, menurut laporan keluarga dan hasil bedah siasat.
- Bapa bayi tersebut, Mohd Syafaeez Mat Liki, menyatakan kesedihan dan berikrar untuk menuntut keadilan bagi anaknya yang meninggal dunia sebelum sambutan Aidilfitri.
- Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas keluarga mendakwa rakaman CCTV menunjukkan unsur penderaan terhadap bayi tersebut.
Kegembiraan seorang bapa untuk menyambut lebaran bersama anak sulungnya bertukar menjadi tragedi memilukan apabila bayi lelaki berusia empat bulan itu maut dipercayai akibat didera di sebuah pusat jagaan.
Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, dia sama sekali tidak menyangka panggilan video bersama anaknya, Hayl Haarith, pada malam sebelum kejadian adalah yang terakhir sebelum mereka berpisah buat selama-lamanya.
Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, anaknya kelihatan ceria sebelum isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, masuk bertugas sebagai jururawat.
Bagaimanapun katanya, suasana hiba menyelubungi apabila dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak taska kira-kira jam 4 pagi yang memaklumkan anaknya lemas ketika tidur.
Berita duka itu kemudiannya disahkan oleh isterinya sekitar jam 5.40 pagi yang memaklumkan bahawa bayi mereka sudah meninggal dunia.
"Mulanya saya ingat kematian biasa dan tiada unsur mencurigakan. Tetapi selepas bedah siasat, terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan di bahagian kepala, mata, hidung dan bahagian kanan muka.
"Selain itu, terdapat luka pada kulit kepala yang seolah-olah terkena hentakan objek tumpul," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Mohd Syafaeez yang bekerja sebagai peniaga di Terengganu menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kematian anaknya itu.
"Saya sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan itu kerana ia tidak berperikemanusiaan dan saya berikrar akan menuntut keadilan agar nasib sama tidak menimpa keluarga lain," luahnya.
Sementara itu, dia turut menyatakan rasa terkilan kerana tidak sempat membawa anak dan isterinya membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri nanti.
"Saya rasa sedih dan terkilan sebab hasrat untuk membeli pakaian raya bersama-sama tidak kesampaian. Saya pasrah atas apa yang berlaku," katanya.
Jenazah Hayl Haarith selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang kira-kira jam 10 pagi pada Selasa
Sebelum ini media melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang.
Kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas keluarga bayi berkenaan mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat jagaan itu menunjukkan terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.
Sumber: Sinar Harian