Sekilas
- Kerajaan memperuntukkan RM16 bilion untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027, meningkat dari RM15 bilion tahun ini.
- Seramai sembilan juta penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan, manakala golongan bukan penerima STR berumur 18 tahun ke atas termasuk M40 akan dapat kredit tunai SARA MADANI RM100 dua kali setahun.
- Kredit SARA boleh digunakan untuk membeli barangan basah di 216 Pasar Tani dan Tamu FAMA, dengan rangkaian kedai runcit dan koperasi rakan niaga SARA ditingkatkan kepada 10,000 premis menjelang akhir tahun.
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM16 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027 berbanding RM15 bilion tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, penambahan peruntukan berkenaan membolehkan seramai sembilan juta penerima STR menikmati bayaran SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun.
Bantuan bersasar itu turut diperluas kepada golongan bukan penerima STR berumur 18 tahun ke atas, termasuk kumpulan M40, menerusi pemberian kredit tunai SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali.
"Manakala selain penerima STR yang berumur 18 tahun ke atas, akan menerima SARA MADANI 100 ringgit sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka. Ini akan memanfaat sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40," katanya sewaktu membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi memastikan bantuan berkenaan membantu sektor perniagaan tempatan dan keterjaminan makanan, kerajaan turut membenarkan kredit SARA digunakan bagi membeli barangan basah dan segar di 216 Pasar Tani dan Tamu FAMA di seluruh negara.
Rangkaian kedai runcit kecil dan koperasi rakan niaga SARA yang kini mencecah 6,800 premis juga akan ditingkatkan kepada 10,000 premis sebelum hujung tahun ini.
Langkah memperkukuh jaring keselamatan sosial itu hadir seiring dengan peningkatan dana Jualan RAHMAH dan Agro MADANI kepada RM750 juta bagi menampung 35,000 penganjuran jualan murah barangan asas di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber: Astro AWANI