Sekilas
- Anita Wing Lee dan Tim Muttoo dari Toronto, Kanada, berkongsi kisah cinta unik dengan perbezaan ketinggian 41 sentimeter yang menarik perhatian ramai di media sosial.
- Mereka bermula sebagai sahabat rapat sebelum perasaan cinta mula berputik secara perlahan dan akhirnya mendirikan rumah tangga pada Jun 2025.
- Kisah mereka memberi inspirasi sehingga Tim menulis buku 'Love Can Grow' yang berkongsi perjalanan cinta mereka dari sahabat menjadi pasangan suami isteri.
Perbezaan fizikal bukan penghalang buat pasangan Anita Wing Lee dan Tim Muttoo yang kisah cinta mereka kembali menjadi perhatian ramai di media sosial.
Pasangan dari Toronto, Kanada itu mempunyai perbezaan ketinggian sekitar 41 sentimeter dengan Anita berketinggian 163 sentimeter, manakala Tim pula sekitar 122 sentimeter. Foto perkahwinan mereka sebelum ini pernah tular sehingga mendapat perhatian media antarabangsa.
Anita dan Tim mendirikan rumah tangga pada Jun 2025, namun sebelum bergelar suami isteri, kedua-duanya sebenarnya sudah lama bersahabat rapat.
Hubungan mereka juga tidak terus bermula sebagai percintaan kerana Anita dan Tim sering meluangkan masa bersama sebagai sahabat sebelum perasaan cinta mula berputik.
Menurut Tim, perasaannya terhadap Anita hadir secara perlahan-lahan selepas mereka kerap keluar bersama dan berbual panjang mengenai pelbagai perkara.
“Saya mula mempunyai perasaan dan semuanya berlaku begitu sahaja,” katanya.
Tim turut cuba membaca perasaan Anita secara tidak langsung dengan memberikan beberapa ‘hint’ untuk melihat reaksi wanita itu.
Bagaimanapun, Anita mengambil masa lebih lama sebelum menyedari persahabatan mereka berpotensi berkembang menjadi hubungan romantik.
Malah, Anita pada awalnya beberapa kali memberitahu Tim bahawa mereka lebih baik kekal sebagai sahabat.
Namun, pandangannya mula berubah selepas melihat keperibadian Tim yang disifatkannya mempunyai ciri-ciri lelaki yang dicari sebagai pasangan hidup.
“Dia seorang yang baik. Dia juga seorang pemimpin dan mempunyai banyak visi,” kata Anita.
Anita mengakui keputusan meluahkan perasaannya kepada Tim bukan sesuatu yang mudah kerana dia sedar perkara itu bakal mengubah hubungan mereka untuk selama-lamanya.
Selepas mendirikan rumah tangga, foto pasangan tersebut kembali tular dengan ramai netizen memberikan perhatian terhadap perbezaan ketinggian mereka.
Ada yang memberikan sokongan dan menganggap kisah Anita dan Tim sebagai inspirasi, namun tidak kurang juga yang meninggalkan komen negatif sehingga membuatkan Anita berasa tertekan.
Tim bagaimanapun sentiasa berada di sisi isterinya dan membantu Anita berdepan dengan pelbagai reaksi di media sosial.
Malah, dia secara berseloroh menggelarkan dirinya sebagai ‘pelindung komen’ buat Anita.
Di sebalik komen negatif, pasangan itu memilih untuk memberi perhatian kepada mesej positif daripada individu yang mengakui kisah mereka telah membuka perspektif baharu mengenai cinta dan hubungan.
Kisah perjalanan mereka turut memberi inspirasi kepada Tim untuk menghasilkan sebuah buku berjudul ‘Love Can Grow’ yang berkongsi mengenai tujuan hidup, hubungan serta perjalanan mereka daripada sahabat hingga menjadi pasangan suami isteri.
Tim yang merupakan seorang jurutera dan usahawan turut menjadi salah seorang pengasas sebuah organisasi kebajikan yang memberi tumpuan kepada penyediaan air bersih.
Menerusi buku tersebut, Tim berharap kisah mereka dapat menunjukkan bahawa cinta boleh hadir dengan cara yang tidak dijangka.
“Kami sangat gembira dapat berkongsi mengenai zaman kanak-kanak dan bagaimana kami jatuh cinta. Perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.