Sekilas
- Sebuah lubang kecil di Kompleks Pemakaman Sunan Gunung Jati, Cirebon, dikatakan keramat dan dipercayai boleh membawa seseorang ke Mekah, namun dakwaan ini disangkal keras oleh juru kunci kawasan tersebut.
- Juru kunci, Nasirudin, menjelaskan bahawa cerita lorong ghaib itu palsu dan tersebar kerana maklumat salah daripada pemandu pelancong tidak berdaftar.
- Kompleks ini tetap menjadi tumpuan pelancong kerana makam ramai penyebar agama Islam, dan pengunjung dinasihatkan menggunakan pemandu pelancong berdaftar untuk mendapatkan maklumat tepat.
Sebuah lubang kecil di kawasan kubur atau kompleks Pemakaman Sunan Gunung Jati, Cirebon, Jawa Barat, Indonesia dikelilingi pagar dan dianggap keramat kerana dipercayai boleh membuat seseorang yang memasukinya menggunakan lorong tersebut sampai ke Mekah, Arab Saudi.
Dakwaan itu sudah lama didengar dan sempat menjadi tular beberapa wqktu lalu. Oleh yang demikian, kawasan tersebut sentiasa dipenuhi pengunjung yang antaranya mengabadikan kenangan.
Memberi respons kepada khabar yang tersebar, Juru Kunci Komplek Pemakaman Sunan Gunung Jati, yang dkenali sebagai Nasirudin, membantah keras lubang tersebut boleh digunakan sebagai laluan menuju ke Mekah. Ia dipercayai kononnya pernah digunakan para wali untuk sampai ke tanah suci tersebut.
Menurut Nasirudin, khabar yang beredar adalah palsu dan mula menjadi buah mulut selepas ada pengunjung yang percaya dengan penerangan tidak jelas daripada pemandu pelancong tidak bertauliah.
“Apa yang viral adalah salah. Sangat tidak benar bahawa tempat itu boleh tembus sampai ke Mekkah atau digelar lorong ghaib. Semuanya tidak benar,” ujar lelaki tersebut kepada DetikTravel.
Dia menambah: “Yang membuat cerita ini jadi viral kerana ada seorang pemandu pelancong yang baru belajar memberitahu pengunjung tentang cerita tidak benar itu.
“Sebaiknya kalau mahu menziarah dan mengetahui sejarah sebenar, gunakan khidmat pemandu pelancong yang tepat dan berdaftar.”
Nasirudin bagaimanapun tidak memperincikan tentang lubang kecil itu namun mengaku ia dipagar kerana tidak mahu menjadikan ia boleh dimasuki oleh sembarangan orang. Dipercayai terdapat batu-batuan di dalam lubang kecil tersebut.
Kompleks Pemakaman Sunan Gunung Jati menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai makam atau kubur ramai penyebar agama Islam.