Sekilas
- Malaysia berjaya menarik minat pemain industri antarabangsa dengan hasil pertanian seperti nanas Sarawak, nangka madu, dan lada hitam Borneo melalui penyertaan di Fruit Attraction 2026 di Sepanyol.
- Tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan rakan antarabangsa, membuka peluang kerjasama perdagangan bernilai hampir RM217 juta.
- Inisiatif ini turut menumpukan penggunaan teknologi moden untuk meningkatkan daya saing dan kualiti produk pertanian Malaysia di pasaran eksport.
Siapa sangka hasil pertanian tempatan seperti nanas Sarawak, nangka madu dan lada hitam Borneo mampu menarik perhatian pemain industri antarabangsa sehingga membuka peluang kerjasama perdagangan bernilai hampir RM217 juta.
Perkembangan itu dicatatkan menerusi penyertaan Malaysia dalam ekspo perdagangan buah-buahan dan sayur-sayuran antarabangsa, Fruit Attraction 2026 yang berlangsung di IFEMA Madrid, Sepanyol dari 6 hingga 8 Oktober lalu.
Menerusi penyertaan tersebut, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) telah dipertukarkan antara usahawan Malaysia dengan rakan antarabangsa dari Sepanyol, Itali, Maghribi, Jepun dan India.
Kerjasama berkenaan melibatkan anggaran potensi transaksi keseluruhan sebanyak RM216.94 juta, merangkumi pembangunan pasaran, pengedaran, cadangan usaha sama serta teknologi pertanian.
Antara produk yang mencuri perhatian ialah nanas Sarawak Gold 1 (SG1) yang diperkenalkan secara rasmi kepada pasaran Eropah menerusi Pavilion Malaysia.
Selain SG1, produk tempatan lain yang diketengahkan termasuk nanas MD2, nangka madu J33, pelbagai buah-buahan tropika serta lada hitam premium dari Borneo.

Penyertaan Malaysia dalam ekspo berkenaan diselaraskan oleh Axis Commerce menerusi inisiatif Malaysia Premium Produce Mission (MPPM), yang bertujuan menghubungkan pengeluar dan pengeksport tempatan dengan pembeli antarabangsa.
Axis Commerce yang diasaskan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, turut memainkan peranan sebagai Pesuruhjaya Malaysia bagi penyertaan negara dalam ekspo tersebut.
Menariknya, antara peluang perdagangan yang dikenal pasti termasuk cadangan pengedaran nanas SG1 dan MD2 ke Maghribi, selain usaha membangunkan platform pengedaran lada hitam premium Borneo ke Eropah.
Kerjasama dengan sebuah syarikat Jepun pula menyasarkan program bekalan nanas Malaysia bagi tempoh lima tahun, dengan nilai komersial indikatif sebanyak RM156.9 juta atau kira-kira €33.3 juta.
Bagaimanapun, nilai tersebut masih merupakan unjuran potensi yang tertakluk kepada permintaan pasaran, kesiapsiagaan pembekal serta persetujuan komersial antara pihak terlibat.
Selain membuka peluang eksport, penyertaan berkenaan turut memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dalam meningkatkan daya saing sektor pertanian Malaysia.
Antara bidang yang diteroka termasuk nanoteknologi, perisian pertanian, sistem kebolehkesanan produk serta teknologi yang membantu memanjangkan jangka hayat hasil segar.
Pendekatan tersebut dilihat berpotensi membantu pengusaha tempatan mengekalkan kualiti dan kesegaran produk, khususnya bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.

Penyertaan Malaysia di Fruit Attraction 2026 sekali gus memperlihatkan potensi hasil pertanian tempatan untuk diperkenalkan kepada pasaran lebih luas, termasuk Eropah dan Asia.
Walaupun nilai kerjasama yang diumumkan belum mencerminkan transaksi jualan yang dimuktamadkan, perkembangan itu membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk membina rangkaian perdagangan baharu di peringkat antarabangsa.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneroka pasaran eksport benua Eropah menerusi penyertaan julung kali di ekspo antarabangsa Fruit Attraction 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober di Madrid, Sepanyol.
Perasmian Pavilion Malaysia telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato' Nor Sam binti Alwi. Majlis turut menyaksikan pelancaran rasmi varieti buah nanas SG1 bagi pasaran Eropah, di samping penembusan berterusan varieti popular seperti Nanas MD2 dan Nangka Madu J33.
Penyertaan strategik ini membuahkan hasil berimpak tinggi menerusi pertukaran tujuh (7) Memorandum Persefahaman (MoU) antara usahawan Malaysia dan syarikat antarabangsa, dengan anggaran nilai potensi transaksi mencecah RM216.94 juta.
Pavilion Malaysia turut menerima kunjungan hormat daripada PYT Haznah Md. Hashim, Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, yang menyokong penuh usaha memperluas pasaran agromakanan negara di peringkat global.
Penyertaan kejayaan ini direalisasikan menerusi kolaborasi strategik usahawan di bawah bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), dan Kerajaan Negeri Selangor.
Penganjuran Fruit Attraction 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sepanyol telah dihimpuni lebih 2,500 syarikat pembekal dan pengedar daripada 78 negara.