Sekilas
- Filem animasi Papa Zola kini mendapat perhatian bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga penonton dewasa kerana tema kekeluargaan dan jalan cerita yang menarik.
- Penggiat seni menegaskan pentingnya sokongan terhadap karya animasi tempatan agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
- Papa Zola The Movie akan ditayangkan di pawagam bermula 11 Disember, sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan peminat francais animasi seperti BoBoiBoy dan Mechamato.
Tidak lagi terhad kepada tontonan kanak-kanak, filem Papa Zola kini membuktikan bahawa animasi juga mampu dinikmati penonton dewasa, sekali gus menepis stigma lama dalam kalangan masyarakat.
Ramai peminat tempatan berpendapat bahawa filem animasi mempunyai tema, mesej dan nilai tersendiri yang sesuai untuk tontonan umum.
Menurut Mustaqim dan Asyiqin, filem animasi hari ini hadir dengan penceritaan yang mampu menarik minat semua peringkat umur.
Mereka turut menegaskan pentingnya sokongan terhadap karya tempatan agar animasi Malaysia dapat melangkah ke pasaran antarabangsa.
“Untuk BoBoiBoy, sasaran penonton bukan lagi kanak-kanak sahaja tetapi juga golongan dewasa kerana elemen aksi dan jalan ceritanya kini lebih mantap dan catchy, tidak terhad kepada tontonan kanak-kanak semata-mata.
“Bagi saya, kita perlu sokong filem tempatan, lebih-lebih lagi Papa Zola yang berpotensi pergi ke luar negara. Jadi penting untuk kita tunjukkan sokongan kepada filem ini," kata mereka.
Bagi pasangan suami isteri, Hajarratul Norashikin dan Mohamad Kahirul, filem Papa Zola menjadi antara karya yang paling mereka nantikan kerana sarat dengan watak menarik serta tema kekeluargaan.
“Saya berharap ada berita baik untuk Papa Zola The Movie dan memang teringin membawa anak-anak menontonnya. Saya memang suka lihat keluarga Papa Zola di skrin.
“Filem ini sesuai ditonton seisi keluarga kerana ia mengangkat tema kekeluargaan dengan pelbagai watak lain, bukan hanya fokus kepada kanak-kanak," ujarnya.
Sementara itu, Nur Syafiqa dan Abdul Harith memuji usaha produksi Papa Zola yang menganjurkan acara larian sebagai inisiatif promosi filem tersebut.
“Acara seperti ini sangat bagus untuk mempromosikan filem. Selain ibu bapa, kanak-kanak pun boleh turut serta.
“Ia satu pengalaman menarik untuk menarik lebih ramai penonton dan memberi lebih banyak pendedahan di media sosial tentang kewujudan filem ini.
“Sebelum ini, filem lebih tertumpu kepada penonton kanak-kanak, tetapi kali ini ibu bapa juga boleh turut sama kerana temanya lebih kepada ikatan kekeluargaan. Jalan ceritanya pun sangat menyentuh, penuh emosi dan bukan sekadar aksi," jelas mereka.
Dalam pada itu, Muhammad Amzar dan rakannya Nik pula berharap karya animasi Monsta ini terus berkembang dengan memberi peluang kepada watak-watak lain untuk diketengahkan.
“Saya memang berharap ada filem yang beri fokus kepada watak lain, tetapi saya nak lebih penekanan pada watak-watak kelakar seperti Gopal. BoBoiBoy siri pun dah hampir tamat, jadi kalau ada filem spin-off lain pun saya sangat alu-alukan.
“Pada saya, apa-apa watak pun tak kisah, asalkan ada perkembangan karakter. Animasi kita pun semakin bagus dari tahun ke tahun, dan itu memang jelas ketara," katanya lagi.
Sinopsis:
Filem ‘Papa Zola The Movie’ mengisahkan Papa Zola, seorang guru sekolah dan anak perempuannya yang berbakat, Pipi dalam menjalani pengembaraan kecil yang semakin meningkat dan mencabar.
Eksperimen mereka mempamerkan hubungan kasih sayang mereka dan kecerdasan Pipi, sambil mereka mengharungi situasi aneh bersama-sama.
Buat para peminat francais animasi BoboiBoy dan Mechamato, jangan lepaskan peluang untuk dapatkan tiket dan tonton Papa Zola The Movie di pawagam berdekatan anda bermula 11 Disember ini.