Bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann mengakui lakonan aktres, Lisa Surihani menjadi inspirasi utamanya untuk terus mendalami bidang lakonan.
Menurut Farah atau nama sebenarnya Farah Ann Abdul Hadi, dia amat menyanjungi Lisa kerana penghayatannya dalam menjayakan sesuatu watak.
Advertisement
“Saya amat mengagumi Lisa Surihani sebab pada saya dia sangat hebat menghayati watak. Kalau lihat dia dalan skrin, watak yang dibawakan itu ‘hidup’.
“Saya suka lihat cara Lisa membawakan karakter yang diberikan,” ujarnya.
Farah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program MeleTOP bagi slot drama Astro Originals berjudul Generasi: Perfect 10 pada Selasa.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam dunia seni, Farah cukup berasa teruja dapat merasai pengalaman di set penggambaran.
“Pertama kali dalam bidang lakonan sudah pasti saya berasa sangat teruja kerana dapat merasai sendiri apa yang berlaku di belakang tabir set penggambaran.
“Alhamdulillah, ini baru permulaan, kalau ada tawaran untuk bawa watak lain saya akan ambil dan saya rasa apa yang perlu saya lakukan adalah latihan.
“Ambil kelas dan lakukan latihan lebih mendalam. Bidang ini memerlukan kemahiran jadi saya merancang untuk belajar duhulu dan buat yang terbaik.
“Saya belajar dengan kak Sofia dahulu, dia adalah orang pertama yang membuka mata saya. Saya harap selepas ini sekiranya ada watak lain, saya akan lebih mendalaminya,” jelas Farah.
Generasi: Perfect 10 yang iuga merupakan arahan Sling Ng itu dibintangi oleh Arena Wan, Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis.
Legenda gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi juga membuat penampilan khas selain bertindak sebagai penasihat siri tersebut.
Saksikan Generasi: Perfect 10 secara eksklusif di Astro Ria, Astro Citra, Astro GO dan aplikasi sooka
Untuk rekod, Farah mengumumkan persaraannya daripada dunia gimnastik pada tahun 2022 selepas lebih dua dekad mewakili negara.
Sepanjang karier, Farah mencipta pelbagai kejayaan membanggakan termasuk layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain menjadi antara gimnas paling berjaya dalam sejarah Sukan SEA dengan tujuh pingat emas menerusi penampilan di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Manila (2019).