Sekilas
- Trend gambar lama tahun 2016 kembali viral apabila ramai selebriti seperti Eyka Farhana, Sweet Qismina, dan Janna Nick berkongsi foto nostalgia mereka di media sosial.
- Eyka Farhana terkejut menyedari gambar tersebut sudah 10 tahun lalu dan berkongsi tentang gaya solekan serta penggunaan contact lens yang pernah digemarinya.
- Sweet Qismina dan Janna Nick pula berkongsi kenangan peribadi, termasuk fasa pemulihan dan gaya rambut pendek yang pernah menjadi fenomena.
Media sosial sentiasa dipenuhi dengan pelbagai trend baharu bermula daripada fesyen, tarian, masakan sehinggalah perkongsian spontan yang mencuri perhatian.
Terbaharu, trend gambar lama sekitar tahun 2016 kembali tular apabila ramai selebriti berkongsi foto nostalgia masing-masing.
Antara selebriti yang turut serta ialah Adam Lee, Sweet Qismina, Eyka Farhana, Janna Nick, Mimi Fly, Siti Khadijah, Daiyan Trisha dan ramai lagi.
Menerusi perkongsian di Instagram, pelakon, Eyka Farhana mengakui terkejut apabila menyedari gambar tahun 2016 adalah dirinya 10 tahun lalu dan tidak menyangka masa berlalu begitu pantas.
"Ini adalah perkongsian dari archive saya, baru perasan ini adalah 10 tahun yang lepas. Saya sangat obses dengan 'contact lense' berwarna hijau dan biru beserta solekan yang tebal. Saya terlalu 'try hard' nak buatkan wajah saya lebih berusia dari umur saya. Cepatnya masa berlalu," tulisnya.
Sementara itu, aktres Filem Babah, Sweet Qismina berkata tahun 2016 merupakan fasa pemulihan selepas melalui kehilangan yang paling memilukan.
"2016 adalah fasa saya 'polish' perkara yang diluar sambil 'healing' di dalam. Tahun selepas saya lalui kehilangan yang paling menyayat hati," ujarnya.
Tidak ketinggalan juga, pelakon Janna Nick pula berkongsi gambar lamanya dengan potongan rambut pendek yang pernah menjadi fenomena suatu masa dahulu.
"Zaman kegilaan kakbang. Jangan tunjuk dekat Dini, takut dia menyesal kahwin dengan bekas kakbang," katanya.