Pelakon Daler Yusuf tampil menjelaskan bahawa dia sudah membuat permohonan maaf kepada aktres Puteri Balqis berhubung kenyataannya mengenai isu yang berlaku.
Menurut Daler, dia menyokong tindakan mempertahankan diri daripada dibuli dan sering lantang bersuara tentang perkara itu.
Namun, niatnya sekadar menegur agar sebagai lelaki Muslim, perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata tentang wanita, lebih-lebih lagi tanpa bukti kukuh.
"Saya DM tepi dia yang saya minta maaf kalau buat dia marah dan saya sangat sokong dia pertahankan diri. Saya cuma jelaskan yang sebagai orang muslim terutama lelaki, kita kena jaga mulut kita dan bahasa apabila berdepan dengan perempuan.
"Tak kisahlah sejahat mana pun perempuan itu. Bagi saya ia sangat biadab sebab you menuduh perempuan yang muda tanpa bukti kukuh. Tapi saya minta maaf kalau ia buat dia marah, maka saya padam perkongsian itu walaupun dia tidak balas mesej saya," katanya kepada Gempak.
Daler berkata demikian Ketika ditemui siding media Ramadan & Syawal TV AlHijrah di AC Hotel pada Khamis.
Dalam masa sama, Daler mengakui terkejut apabila namanya disebut dalam Insta Story Balqis sehingga menerima kecaman daripada netizen.
"Saya terkejut selepas nama saya dipetik di Insta Story itu sebab saya tiba-tiba menerima banyak komen. Saya ada tengok dia muat naik perkongsian mengenai saya tapi saya tak baca cuma saya faham dia marah. Mungkin dia salah anggap dengan komen saya. Dia sampai marah dan tulis macam-macam. Saya tak baca habis," ujarnya.
Bagaimanapun, Daler menegaskan dia tidak berniat mencampuri urusan orang lain, sebaliknya bimbang jika perkara sebegitu dianggap normal oleh generasi akan datang.
"Saya sebagai seorang ayah dan ada anak perempuan. Ramai yang cakap saya masuk campur urusan orang. Tetapi kita sebagai manusia kena menegur supaya generasi akan datang tak ambil isu ini mudah dan ibarat mereka rasa benda ini biasa sahaja.
"Saya minta maaf kalau komen saya macam buat dia marah. Saya tak bermaksud pun. Saya sangat sokong dia mempertahankan diri dan bercakap mengenai pengalaman dibuli," jelasnya.