Sekilas
- Pelakon Amir Ahnaf menjelaskan tajuk filem SAYANG SAYANG membawa maksud pelbagai perasaan seperti cinta dan benci yang berubah mengikut keadaan.
- Filem ini menonjolkan mesej perpaduan melalui perasaan sayang walaupun masyarakat berbeza bangsa dan budaya.
- SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu yang mencari identiti dan impian, akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan di Malaysia mulai 5 November.
Pelakon, Amir Ahnaf berkongsi maksud di sebalik tajuk filem SAYANG SAYANG arahan Tang Hsiang-Chu.
Menurut Amir, sayang merangkumi pelbagai perasaan yang boleh berubah mengikut keadaan, termasuk cinta, benci dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, filem ini ingin mengetengahkan mesej meskipun masyarakat mempunyai perbezaan dari segi bangsa dan budaya, perasaan sayang tetap menjadi penghubung yang menyatukan semua.
“Cinta ini adalah setiap pergerakan yang kita ada. Kita boleh sayang. Dari cinta boleh jadi benci. Dari cinta boleh jadi sayang dan sebagainya.
“Produksi ingin ketengahkan walaupun kita berbeza budaya dan bangsa tetapi yang satukan kita adalah sayang. Dia ceritakan isu dan tragedi tetapi lama-lamanya akan sayang-sayang,” katanya kepada Gempak.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza iaitu Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, mengejar impian serta mencari tempat mereka dalam kehidupan.
Selain Amir, filem tersebut turut menampilkan Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Vemanna Appannah, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 5 November depan.