Seorang wanita di Hong Kong berputih mata apabila terpaksa membayar bil makan mewah lebih HK$80,000 (kira-kira RM50,000) selepas ditinggalkan teman janji temunya dalam insiden disyaki dine-and-dash.
Menurut media tempatan, pasangan itu menikmati makan malam di Man Wah, restoran Cina bertaraf Michelin di Hotel Mandarin Oriental Hong Kong, Central.
Difahamkan, mereka memesan “Man Wah Premium Set Dinner” berharga HK$2,388 seorang serta sebotol champagne Krug Clos d’Ambonnay 2002 bernilai hampir HK$72,000. Dengan caj perkhidmatan 10 peratus, jumlah keseluruhan bil mencecah lebih HK$84,000.
Wanita berusia 31 tahun itu dilaporkan mengenali lelaki berusia sekitar 26 hingga 27 tahun yang mengaku sebagai peguam melalui aplikasi Telegram.
Bagaimanapun, ketika makan malam, lelaki itu dikatakan keluar seketika namun tidak kembali ke meja.
Usaha wanita tersebut untuk menghubungi lelaki berkenaan gagal dan akhirnya dia terpaksa melangsaikan bil dengan bantuan rakan-rakannya.
Polis mengesahkan laporan tersebut dan diklasifikasikan sebagai “permintaan bantuan polis”. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat.