Skip to main content

Berita

Elon Musk Cipta Sejarah, Individu Pertama Dunia Bergelar Trilionair

Screenshot 2026 06 18 at 12.33.44 AM

Sekilas

  • Elon Musk kini menjadi individu pertama di dunia dengan kekayaan melebihi AS$1 trilion selepas penyenaraian SpaceX di Nasdaq.
  • Nilai pegangan saham Musk dalam SpaceX dan Tesla kini dianggarkan berjumlah lebih AS$1.05 trilion, melebihi gabungan lima individu terkaya dunia di belakangnya.
  • Penyenaraian SpaceX turut mencipta ribuan jutawan dan bilionair baharu dalam kalangan kakitangan serta menaikkan nilai syarikat melebihi AS$2 trilion.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla, Elon Musk mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama di dunia yang memiliki kekayaan melebihi AS$1 trilion (RM4.2 trilion).

Pencapaian luar biasa itu direkodkan selepas syarikat penerokaan angkasa miliknya, SpaceX, disenaraikan di pasaran saham Nasdaq pada harga AS$150 sesaham Jumaat lalu.

Menerusi penyenaraian tersebut, pegangan saham Musk dalam SpaceX kini dianggarkan bernilai lebih AS$766 bilion (RM3.2 trilion), manakala pegangan sahamnya dalam Tesla pula bernilai sekitar AS$280 bilion (RM1.2 trilion).

Secara keseluruhan, nilai kekayaan Musk kini dianggarkan mencecah AS$1.05 trilion (RM4.4 trilion).

Penyenaraian SpaceX sahaja dilaporkan menambah lebih AS$180 bilion (RM764 bilion) kepada kekayaan lelaki berusia 55 tahun itu.
Malah, jumlah kekayaan Musk kini melebihi gabungan lima individu terkaya dunia yang berada di belakangnya.

Nilai kekayaannya juga dikatakan lebih besar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) beberapa negara termasuk Taiwan, Ireland dan Sweden.

Kejayaan Musk bergelar trilionair pertama dunia dijangka kembali mencetuskan perdebatan mengenai jurang kekayaan global serta pengaruh besar golongan bilionair teknologi dalam ekonomi moden.

Selain menjadikan Musk seorang trilionair, penyenaraian SpaceX turut melahirkan ribuan jutawan baharu serta beberapa bilionair dalam kalangan kakitangan dan eksekutif syarikat yang memiliki pegangan saham.

Saham SpaceX dilaporkan meningkat hampir 20 peratus sebelum ditutup pada harga melebihi AS$160 (RM679) sesaham, sekali gus meletakkan nilai syarikat itu melebihi AS$2 trilion (RM8.5 trilion).

Dalam masa sama, saham Tesla turut meningkat hampir dua peratus kepada sekitar AS$406 (RM1,723) sesaham.

Musk mula tersenarai sebagai bilionair oleh Forbes dan Bloomberg pada 2012 dengan nilai kekayaan sekitar AS$2.4 bilion (RM10.2 bilion).

Nilai kekayaannya kemudian melonjak kepada AS$20 bilion (RM84.7 bilion) pada 2019 sebelum meningkat secara mendadak susulan pemecahan saham Tesla pada tahun berikutnya.

Dalam tempoh enam tahun terakhir, kekayaan Musk berkembang hampir 10 kali ganda sekali gus mengatasi kadar pertumbuhan kekayaan beberapa tokoh korporat terkenal dunia termasuk pengasas Amazon, Jeff Bezos, pengasas bersama Microsoft, Bill Gates serta pemilik empayar mewah LVMH, Bernard Arnault.

Menurut Forbes, individu kedua terkaya dunia ketika ini ialah pengasas bersama Google, Larry Page dengan kekayaan sekitar AS$295 bilion (RM1.25 trilion).

Beliau diikuti pengasas bersama Google, Sergey Brin, Jeff Bezos dan pengasas Oracle, Larry Ellison yang masing-masing memiliki kekayaan melebihi AS$200 bilion (RM847 bilion).

 

Bagaimanapun, Forbes menganggarkan kekayaan Bill Gates boleh mencecah AS$464 bilion (RM1.97 trilion) sekiranya beliau tidak menyumbangkan sebahagian besar hartanya untuk tujuan kebajikan dan filantropi.


 

Anda mungkin berminat dengan

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

Must Watch Video

Advertisement