Sekilas
- Aktiviti mendulang emas di Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan dikaitkan dengan unsur mistik dan kepercayaan bahawa emas lebih banyak muncul menjelang waktu solat Jumaat.
- Pendulang perlu ditemani kerana aktiviti ini penuh cabaran termasuk gangguan mistik dan perebutan lokasi, dengan hasil yang diperoleh biasanya kecil sekitar satu gram atau kurang.
- Sungai Tadoh terkenal sebagai lubuk emas tua 999 dan selepas kebenaran kerajaan, semakin ramai pendulang datang untuk mencari emas sebagai pendapatan sampingan.
Aktiviti mendulang emas tidak semudah yang digambarkan di media sosial, malah dikaitkan dengan unsur mistik dan kepercayaan bahawa logam berharga itu mempunyai ‘penunggu’.
Menurut penduduk sekitar Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan, emas dipercayai lebih banyak muncul menjelang waktu solat Jumaat, sehingga ada pendulang yang dikatakan menjadi terlalu asyik seperti 'dirasuk'.
Disebabkan itu, aktiviti mendulang emas tidak digalakkan dilakukan secara bersendirian dan perlu ditemani untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.
Penduduk tempatan, Halimah Awang, 75, yang telah lebih enam dekad berkecimpung dalam aktiviti mendulang emas berkata, kehadiran ular atau lintah secara tiba-tiba sering dianggap petanda kewujudan emas di kawasan tersebut.
"Ketika sedang mendulang, tiba-tiba muncul ular, itu tandanya ada emas. Sama juga dengan kemunculan lintah. Mendulang bukan seperti yang ditunjukkan dalam video ‘content’ untuk menarik perhatian orang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mendulang emas penuh dengan pelbagai cabaran termasuk gangguan mistik dan perebutan lokasi antara pendulang akibat sifat tamak.

Malah katanya, ada yang sanggup mendapatkan khidmat ‘bomoh emas’ bagi mengenal pasti lubuk emas tersembunyi demi keuntungan lebih.
"Kebanyakan penduduk di sini adalah penoreh getah dan hanya mendulang selepas selesai menoreh, sekitar tengah hari dan sekadar untuk pendapatan sampingan.
“Tahun 90-an dan awal 2000-an, emas tidak bernilai tinggi. Dua tiga tahun ini, harganya naik. Kalau ikutkan, banyak rumah di kampung ini memang dibina atas tanah yang mengandungi emas.
“Mendulang ini seperti cari kayu gaharu. Ada yang kata 'jumpa harimau'. Ada masa dapat, kebanyakan masa tak dapat,” katanya.
Menurut Halimah, mendulang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi kerana pendulang perlu menggali, mengangkat batu pelbagai saiz dan berendam antara tiga hingga enam jam di dasar sungai.
Katanya, hasil yang diperoleh selalunya kecil, sekitar satu gram atau kurang dan jika berjaya, ia dianggap ‘jackpot’.
"Emas di Sungai Tadoh sangat halus seperti pasir. Kalau jumpa sebesar butir padi, itu rezeki. Yang lebih besar dipanggil ‘nugget’, tetapi setahun dua pun belum tentu dapat,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa aktiviti mendulang telah dilakukan sejak puluhan tahun lalu sebagai usaha menambah pendapatan, dan bukan untuk menjadi kaya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kamil Abdullah, 35, yang mula mendulang sejak berusia enam tahun mendakwa emas di Sungai Tadoh sering muncul dengan lebih banyak pada hari Jumaat.
“Semakin hampir waktu solat Jumaat, semakin banyak emas keluar. Kadang-kadang ada yang terlalu asyik, macam 'dirasuk’ sebab terlalu seronok.
“Selepas kerajaan negeri umumkan kebenaran mendulang, ramai kawan mesej nak belajar. Dulu awal tahun 2000, ramai juga jumpa sanggul, keris, dan cincin emas di Sungai Tadoh,” katanya.
Tambah Kamil, Sungai Tadoh merentasi dua kampung iaitu Kampung Kalai dan Kampung Lalat yang mempunyai kira-kira 500 rumah.
“Emas di Kalai ini emas tua 999. Kalau di Sokor, Tanah Merah, itu emas muda. Kampung Kalai memang terkenal sebagai ‘lubuk emas’ kerana dipercayai terdapat terowong emas berusia lebih 100 tahun.
“Sebelum kerajaan beri kebenaran, Sungai Tadoh sudah pun jadi tumpuan pendulang kerana emas ‘hanyut’ kerap ditemui. Kini selepas kebenaran diberi, makin ramai yang datang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian