Empat hari tanpa sebarang khabar berita tentunya cukup meresahkan buat Aziela Shaharuddin apabila suaminya, Mohd Sani Harul masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Nepal.
Mohd Sani yang merupakan Timbalan Pengarah Bahagian di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan antara dua pegawai bomba yang masih gagal dikesan selepas bencana berkenaan.
Menerusi perkongsian di TikTok, Aziela meluahkan rasa bimbang dan kerinduan seluruh keluarga yang masih menantikan kepulangan suaminya.
“Pada saat ini, kami sekeluarga menadah tangan kepada-Mu dengan hati yang penuh harapan, penuh kerinduan dan penuh rasa takut.
“Kami berkumpul sebagai sebuah keluarga kerana kami terlalu merinduimu, namun sehingga saat ini kami masih belum mengetahui di mana dia berada dan bagaimana keadaannya,” luahnya.
Dalam perkongsian sama, Aziela menyerahkan keselamatan suaminya kepada Allah SWT ketika keluarga tidak mengetahui keadaan mahupun keberadaannya ketika ini.
“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui… engkau melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya, mendengar suaranya ketika telinga kami tidak mampu mendengarnya. Di saat kami tidak mampu berada di sisinya, jadilah engkau yang menjaganya,” tulisnya.
Meskipun dilanda kebimbangan, Aziela dan keluarga enggan berputus asa serta terus berharap Mohd Sani dapat ditemukan dalam keadaan selamat dan sihat.
“Kembalikanlah beliau kepada keluarganya, kembalikanlah dia kepada anak-anaknya dan saudara-maranya yang sedang menunggu. Kembalikanlah dia dalam keadaan selamat dan sihat.
“Kami mengaku Ya Allah, kami takut, kami risau, kami menangis… Tetap kami tidak mahu berputus asa daripada rahmat-Mu. Kurniakanlah kami kesabaran untuk terus menunggu dan kekuatan untuk terus berusaha,” ujarnya.
Terdahulu, dua pegawai JBPM dilaporkan antara rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan besar di daerah Rasuwa, Nepal.
Selain Mohd Sani, seorang lagi pegawai terbabit ialah pendaki profesional yang juga anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.
Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menuju ke Everest Base Camp (EBC).