Kementerian Luar mengesahkan kesemua rakyat Malaysia yang ditahan Israel dalam pelayaran menuju ke Gaza menerusi misi Global Sumud Flotilla (GSF) dalam keadaan selamat dan sihat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar, mereka dijangka dihantar pulang melalui negara ketiga.
Advertisement
Selain itu, menurut kenyataan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah mengeluarkan arahan kepada perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
"Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia.
"Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara," katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.
Kementerian itu turut memaklumkan, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF khususnya 15 rakyat Malaysia yang telah ditahan rejim Zionis.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad telah berhubung dengan beberapa pemimpin dan rakan sejawat negara sahabat termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam hal ini.
"Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera," kata kementerian itu.
Sumber: Astro AWANI