Skip to main content

Viral

Gula Cakery Nafi Halang Pekerja Lelaki Tunai Solat Jumaat - "Tuduhan Ini Sangat Tidak Benar"

Astro Gempak gula cakery (3)

Sekilas

  • Pengasas Gula Cakery, Arieni Ritzal, menafikan dakwaan syarikat melarang pekerja menunaikan solat Jumaat dan menjelaskan ia adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi syarikat.
  • Tindakan terhadap bekas pekerja yang tidak hadir tanpa notis adalah isu disiplin kerja dan bukan berkaitan ibadah, dengan bekas pekerja diarahkan membayar ganti notis RM2,000 namun tuntutan itu ditarik balik sempena Ramadan.
  • Gula Cakery menegaskan mematuhi undang-undang berkaitan kebajikan pekerja dan menolak ugutan, sambil berharap penjelasan ini dapat menghentikan spekulasi dan memberi gambaran sebenar kepada masyarakat.

Pengasas Gula Cakery, Arieni Ritzal tampil memberi penjelasan susulan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa syarikatnya melarang pekerja menunaikan solat Jumaat.

Menurut Arieni, tuduhan tersebut tidak berasas dan disifatkan sebagai satu fitnah yang boleh menjejaskan reputasi syarikat.

“Saya ingin tegaskan, kami tidak pernah menghalang pekerja menunaikan solat Jumaat. Tiada arahan, sama ada lisan atau bertulis, yang melarang perkara itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, kekeliruan timbul apabila tindakan syarikat terhadap seorang bekas pekerja disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Menurutnya, individu tersebut yang masih dalam tempoh percubaan didakwa tidak hadir bekerja selama tiga hari tanpa sebarang makluman sebelum kes tersebut dibawa ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Arieni berkata, dalam sesi mediasi, individu berkenaan mengakui ketidakhadiran tanpa notis yang merupakan pelanggaran kontrak kerja di bawah Akta Kerja.

“Tindakan kami di JTK adalah prosedur biasa. Ini soal disiplin kerja, bukan soal ibadah seperti yang digambarkan,” jelasnya.

Susulan itu, bekas pekerja terbabit diarahkan membayar RM2,000 sebagai ganti notis.

Mengulas lanjut, Arieni mengakui dakwaan berkaitan larangan solat merupakan tuduhan paling berat dan memberi kesan kepada pihak pengurusan.

Sebagai sebuah perniagaan milik orang Islam, beliau menegaskan bahawa Gula Cakery sentiasa mengutamakan keberkatan dalam mencari rezeki.

“Jika ada kekangan operasi, kami gunakan sistem rotation supaya pekerja tetap boleh menunaikan solat. Tuduhan ini sangat tidak benar,” katanya.

Dalam masa sama, Arieni turut menjawab beberapa dakwaan lain melibatkan isu kebajikan pekerja termasuk kebersihan, caruman SOCSO serta pengurusan pekerja asing.

Menurutnya, semua perkara tersebut mematuhi undang-undang dan dokumen berkaitan telah disediakan untuk sesi perbicaraan seterusnya pada 28 April 2026.

Beliau turut mendedahkan bahawa syarikat berdepan tekanan termasuk ancaman laporan kepada pihak berkuasa seperti SPRM dan Imigresen bagi memaksa penarikan kes di JTK.

“Kami tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Arieni mengambil pendekatan lebih berhemah dengan menarik semula tuntutan bayaran RM2,000 terhadap individu berkenaan.

“Dalam bulan Ramadan ini, kami pilih untuk berlapang dada dan tidak meneruskan tuntutan tersebut,” katanya.

 

 

View on Threads

 

Beliau turut memohon maaf sekiranya kenyataan terdahulu menimbulkan salah faham, selain menegaskan komitmen syarikat untuk terus memperbaiki sebarang kelemahan.

Mengakhiri kenyataan, Arieni berharap penjelasan tersebut dapat menghentikan spekulasi serta memberi gambaran sebenar kepada masyarakat.

“Kami hanya mahu terus bekerja dengan tenang dan mencari rezeki yang diberkati,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN HANA Set Kurung Corak Jalur – Ringkas Tapi Bergaya - H2025009

YAN@YAN HANA Set Kurung Corak Jalur – Ringkas Tapi Bergaya - H2025009

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Sejadah baldu gebu tebal 5D

The Lutfi Chili Oil with Crispy Garlic

The Lutfi Chili Oil with Crispy Garlic

Must-Watch Video

Advertisement