Sekilas
- Seorang lelaki di China berenang selama tiga jam sambil berpaut pada tayar untuk menyelamatkan ibu bapanya ketika banjir besar di wilayah Guangxi Zhuang.
- Banjir tersebut menyebabkan 39 kematian dan menjejaskan hampir 400,000 penduduk selepas hujan lebat dan beberapa empangan runtuh.
- Lelaki berusia 30 tahun itu nekad meredah arus deras sejauh 10 kilometer demi memastikan keselamatan keluarganya sebelum kembali ke bandar untuk menguruskan perniagaan dan berhubung dengan pasukan penyelamat.
Seorang lelaki di China menjadi perhatian ramai selepas sanggup berenang selama tiga jam sambil berpaut pada tayar bagi memastikan ibu bapanya selamat ketika banjir besar melanda wilayah Guangxi Zhuang, baru-baru ini.
Memetik laporan South China Morning Post, insiden itu berlaku susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir besar serta beberapa empangan runtuh di selatan China.
Bencana tersebut dilaporkan mengorbankan 39 nyawa dan menjejaskan hampir 400,000 penduduk di wilayah berkenaan.
Lelaki berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Xie berkata dia mula bimbang selepas menerima panggilan daripada ibunya pada malam sebelum kejadian.
Ibunya memaklumkan bapanya telah keluar untuk menyelamatkan hasil tuaian padi mereka, namun masih belum pulang ketika air banjir semakin meningkat.
Lebih membimbangkan, bekalan elektrik terputus menyebabkan talian telefon di kampung mereka turut terganggu.
"Selepas itu saya langsung tidak dapat menghubungi mereka. Saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bimbang ayah dihanyutkan arus banjir," katanya.
Keesokan harinya, Xie bersama seorang rakannya membeli dua tayar lori baharu sebelum nekad berenang menuju ke kampung yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar.
Menurutnya, perjalanan menjadi semakin sukar apabila kilometer terakhir mengambil masa hampir sejam kerana arus yang deras.
Selepas tiga jam meredah air banjir, mereka akhirnya tiba di rumah ibu bapanya.
Setibanya di lokasi, Xie mendapati bapanya terperangkap di tingkat atas rumah akibat paras air yang meningkat dengan begitu cepat.
Menurutnya, bapanya hanya tersenyum apabila melihat kehadirannya.
Namun perkara pertama yang dilakukannya ialah memarahi bapanya kerana sanggup mempertaruhkan nyawa semata-mata mahu menyelamatkan hasil tuaian padi.
Selepas memastikan ibu bapanya berada dalam keadaan selamat, Xie kembali semula ke bandar pada hari yang sama.
Perjalanan pulang mengambil masa kira-kira dua jam lagi dengan berenang meredah banjir.
Katanya, dia perlu kembali kerana menguruskan dua perniagaan dan lebih mudah menghubungi pasukan penyelamat sekiranya keadaan di kampung bertambah buruk.
Walaupun membesar dengan hobi berenang, Xie mengakui dia tetap berasa takut ketika meredah air banjir yang sejuk dan berarus deras.