Sekilas
- Empat kru warga Ukraine terselamat selepas helikopter Kamov Ka-32 terbakar ketika ujian enjin di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
- Seorang daripada mereka cedera akibat terkena serpihan ketika insiden di fasiliti penyelenggaraan MRO di lapangan terbang tersebut.
- Pasukan bomba tiba dalam masa empat minit dan berjaya memadam kebakaran, namun punca kejadian masih dalam siasatan.
Empat warga Ukraine terselamat selepas sebuah helikopter jenis Kamov Ka-32 terbakar ketika hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, tengah hari Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seorang daripada empat individu terbabit yang berada di luar pesawat mengalami kecederaan selepas terkena serpihan.
“Seorang mangsa cedera berada di luar pesawat dan terkena serpihan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Insiden berlaku di sebuah fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di LTSAAS.
Ashrul berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi empat minit kemudian.
Berdasarkan laporan Komander Operasi, kebakaran berlaku ketika helikopter berkenaan hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas menjalani kerja-kerja pembaikan.
Helikopter berkenaan terbakar sepenuhnya, dengan kerja-kerja pemadaman dilakukan Pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bersama anggota JBPM.
Empat individu yang terlibat terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang dan kru.
Helikopter model Kamov Ka-32 itu menggunakan nombor pendaftaran Ukraine, UR-CIT.
Punca kejadian belum dimaklumkan ketika laporan ini disiarkan.
Sumber: Awani