Sekilas
- Lima individu termasuk seorang juruterbang dan empat penumpang maut selepas helikopter BO-105 terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
- Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang dan disahkan oleh Residen Miri serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
- Mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul Baroah, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat, Debra Moset serta Jessie Paya.
Lima individu termasuk seorang juruterbang dan empat penumpang didahkan maut selepas helikopter BO-105 yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang tadi.
Perkara itu disahkan Residen Miri, Galong Luang pada malam Selasa.
Menurut laporan Borneo Post, Galong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berkata, helikopter terbabit terhempas di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, saya belum dapat memberikan nama mangsa yang meninggal dunia ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan kejadian berkenaan menerusi satu kenyataan.
Menurut CAAM, pihaknya menerima notifikasi mengenai nahas itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Lima mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul Baroah, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Sumber: Berita Harian