Sekilas
- Seorang individu yang terlibat dalam aktiviti zumba memakai seragam sekolah tanpa kain di Dewan Bukit Badong tampil memohon maaf atas kejadian yang berlaku secara spontan tanpa pengetahuan penganjur.
- Rakaman video siaran langsung zumba tersebut mencetuskan kontroversi dan kecaman warganet kerana dianggap tidak sopan dan tidak sesuai, terutama melibatkan imej seragam sekolah.
- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis Kuala Selangor telah membuka siasatan dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang berhubung isu tersebut.
Salah seorang pemilik akaun media sosial Threads tampil memohon maaf berhubung isu tular melibatkan aktiviti zumba memaparkan individu berpakaian seragam sekolah tanpa kain seperti yang tular di TikTok.
Individu itu berkata, kejadian berlaku secara spontan ketika aktiviti zumba diadakan di Dewan Bukit Badong, Kuala Selangor dan bukan atas pengetahuan penganjur.
"Saya nak mohon maaf atas apa yang berlaku tadi (berhubung) kes pakai tudung tapi tak berkain dan apa semua tu.
"Sebenarnya saya minta maaf kepada pihak Dewan Bukit Badong kerana pagi tadi kami ada buat zumba di sini," katanya menerusi satu rakaman video permohonan maaf di aplikasi itu pada Ahad.
Menurutnya, siaran langsung yang mencetuskan kontroversi itu dibuat tanpa perancangan dan tidak dimaklumkan kepada mana-mana pihak terlebih dahulu.
"Ikutkan penganjur memang tidak tahu apa-apa kerana saya buat siaran langsung itu secara spontan.
"Semuanya berlaku secara spontan dan mungkin atas kesilapan diri saya sendiri, namun apa-apa pun, saya minta maaf," jelasnya.
Isu itu sebelum ini mencetuskan kecaman warganet di media sosial yang mempersoalkan pemakaian tidak sopan serta kesesuaian aktiviti itu khususnya apabila melibatkan imej berpakaian menyerupai seragam sekolah.
Terdahulu media melaporkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada susulan penularan sebuah rakaman video di aplikasi TikTok memaparkan aktiviti senaman aerobik tidak sopan didakwa berlaku di dewan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung penularan gambar dan video program senaman zumba berkenaan.
Katanya, pihaknya mengesan gambar dan video berkaitan program zumba bertemakan 'back to school' yang dimuat naik di sebuah laman Facebook kira-kira jam 11.13 pagi Sabtu.
Sumber: Sinar Harian