Sekilas
- Perlis menjadi lokasi pilihan penggambaran beberapa filem terkenal seperti Imaginur (2023) yang memukau dengan sinematografi luar negara walaupun dirakam di negeri itu.
- Filem seram psikologi Telaga Suriram (2025) menggunakan suasana kampung sunyi di Perlis untuk menambah kesan dramatik cerita kehilangan kanak-kanak.
- Mojoku Hilang (2026) menonjolkan keindahan alam, budaya dan makanan Perlis dengan 90% penggambaran dilakukan di negeri tersebut, dijangka tayang pada Julai 2026.
Di sebalik statusnya sebagai negeri paling kecil di Malaysia, Perlis memiliki tarikan yang cukup besar di mata pembikin filem.
Keindahan landskap semula jadi, suasana kampung yang mendamaikan serta lokasi-lokasi unik menjadikan negeri ini pilihan bagi pelbagai produksi tempatan.
Malah, ada filem yang berjaya membuatkan penonton menyangka babaknya dirakam di luar negara gara-gara visual yang terlalu cantik.
Berikut merupakan tiga filem yang menjadikan Perlis sebagai antara lokasi penggambaran utama:

1. Imaginur (2023)
Filem romantik fiksyen sains arahan Nik Amir Mustapha yang dibintangi Beto Kusyairy dan Diana Danielle ini berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33.
Menariknya, penggambaran filem ini pada asalnya dirancang untuk dilakukan di Jepun. Namun, susulan pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan, pasukan produksi mengambil keputusan untuk menjalankan penggambaran di Perlis.
Hasil sinematografinya yang memukau membuatkan ramai penonton menyangka landskap menghijau dan kawasan lapang yang dipaparkan dirakam di luar negara.
2. Telaga Suriram (2025)
Filem seram psikologi arahan Osman Ali ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Nabila Huda, Farid Kamil dan Scha Alyahya.
Bagi mendapatkan suasana kampung yang sunyi dan menyeramkan seperti yang diperlukan dalam kisah kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, produksi meluangkan tempoh yang agak lama menjalankan penggambaran di Kodiang (berhampiran sempadan Kedah-Perlis) serta beberapa lokasi lain di sekitar Perlis.
3. Mojoku Hilang (Akan Datang 2026)
Dijadualkan menemui penonton pada Julai 2026, naskhah yang dinanti-nantikan ini diterbitkan dengan konsep pelancongan yang direka khas untuk negeri Perlis. Kira-kira 90 peratus penggambaran filem ini dilakukan di Perlis.
Bukan sekadar menjadikan negeri itu sebagai latar, filem ini turut menonjolkan panorama alam semula jadi, budaya tempatan, warisan tradisional serta keunikan makanan seperti Kurma Daging Perlis kepada penonton serantau.
Perkara tersebut turut disokong oleh salah seorang peneraju filem tersebut, Mimi Lana yang mengakui keindahan negeri Perlis.
"Saya rasa Perlis ibarat sebuah planet yang berlainan. Ini kali kedua saya datang ke negeri ini. Kali pertama saya tak sempat nak terokai Perlis sepenuhnya. Saya baru sedar yang Perlis sangat cantik dan tenang.
"Bahkan, ada pelangi yang cerah di hadapan bilik saya ketika saya pulang dari penggambaran. Cuaca pun amat baik. Mungkin ketika penggambaran, belum masuk lagi kemarau. Walaupun ada panasnya juga tetapi masih ada angin. Ini memang rezeki kita,”katanya.
Mojoku Hilang mengisahkan Adi lakonan Adipati Dolken yang menyamar sebagai orang kampung untuk mendapatkan semula Mojo, seekor lembu yang menjadi rebutan selepas penduduk kampung bertindak 'menculiknya' bagi menghalang pengambilalihan tanah oleh sebuah syarikat.
Namun, misinya berubah apabila dia jatuh hati kepada seorang gadis tempatan yang paling lantang menentang syarikatnya sendiri.
Filem arahan Min Lim itu turut dibintangi Adipati Dolken, Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Aziz M. Osman, Namron serta ramai lagi.
Mojoku Hilang merupakan terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan Argo Films, dan bakal ditayangkan di pawagam bermula 23 Julai.