Sekilas
- Calon Pakatan Harapan DUN Endau, Saiful Nizam Samat, menegaskan kepentingan capaian internet yang stabil sebagai keperluan asas dalam kehidupan moden.
- Beliau menyeru agar infrastruktur telekomunikasi diperkukuh untuk menyokong pembangunan digital, pendidikan, dan ekonomi di Endau.
- Saiful Nizam berharap MCMC memberi perhatian serius terhadap aduan penduduk supaya capaian internet di kawasan tersebut dapat dipertingkatkan.
Capaian internet yang stabil bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya menjadi antara keperluan asas dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Daripada urusan pembelajaran, pekerjaan, perniagaan sehinggalah komunikasi harian, semuanya kini bergantung kepada rangkaian internet yang berkualiti.
Atas sebab itu, calon Pakatan Harapan bagi DUN Endau, Saiful Nizam Samat berharap isu capaian internet di beberapa kawasan di Endau diberi perhatian serius supaya penduduk tidak terus ketinggalan dalam arus pendigitalan negara.
Menurutnya, pembangunan teknologi dan ekonomi digital tidak dapat berkembang tanpa infrastruktur telekomunikasi yang kukuh.
"Saya percaya capaian internet yang berkualiti bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya merupakan satu keperluan asas yang perlu dinikmati oleh setiap rakyat tanpa mengira lokasi.
"Jika kita mahu Endau melahirkan lebih ramai usahawan digital, memperkasa pendidikan, membangunkan sektor agroteknologi, menarik pelaburan serta memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana, maka infrastruktur telekomunikasi mesti diperkasakan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat memberi perhatian terhadap isu yang dibangkitkan agar penduduk menikmati capaian internet yang lebih stabil, pantas dan berkualiti.
Menurut Saiful Nizam, usaha memperkukuh rangkaian internet bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah mampu membuka lebih banyak peluang dalam sektor pendidikan, ekonomi digital dan pembangunan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang tampil berkongsi maklumat serta mengemukakan aduan berkaitan masalah liputan internet di kawasan masing-masing.
"Setiap aduan rakyat akan terus kami bawa kepada agensi yang bertanggungjawab sehingga penyelesaian dapat direalisasikan.
"Endau tidak boleh terus ketinggalan dalam era digital. Kemajuan teknologi bermula dengan infrastruktur telekomunikasi yang kukuh dan setiap rakyat berhak menikmati kemudahan tersebut tanpa mengira di mana mereka berada," katanya.