Skip to main content

Drama

iQIYI Turunkan Enam Episod Madu Atau Racun Buat Sementara Waktu, Tayangan Baki 6 Episod Ditangguhkan

iQIYI Turunkan Enam Episod Madu Atau Racun Buat Sementara Waktu, Tayangan Baki 6 Episod Ditangguhkan

Sekilas

  • Platform iQIYI menurunkan sementara enam episod drama 'Madu atau Racun' dan menangguhkan tayangan baki enam episod untuk proses suntingan dan penilaian semula.
  • Keputusan ini dibuat selepas pertemuan antara FINAS, MCMC, JAKIM, MIG Production, iQIYI dan agensi berkaitan bagi menangani keresahan masyarakat terhadap kandungan drama tersebut.
  • FINAS menegaskan ia bukan badan penapisan kandungan OTT, namun akan menambah baik syarat Sijil Perakuan Penggambaran untuk memastikan produksi mematuhi garis panduan dan bertanggungjawab terhadap kandungan.
Advertisement

Platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod drama 'Madu atau Racun' yang telah disiarkan, manakala tayangan baki enam episod ditangguhkan sehingga proses suntingan dan penilaian semula selesai dilaksanakan.

Keputusan itu dicapai menerusi sesi pertemuan yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama wakil MCMC, JAKIM, MIG Production Sdn. Bhd. (MIG), iQIYl, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) serta Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS Hulu Kelang.

Advertisement

Pertemuan berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh daripada pihak produksi dan platform penstriman susulan kebimbangan serta keresahan masyarakat terhadap kandungan drama tersebut.

Dalam pertemuan itu, pihak MIG dan iQIYI telah menyatakan permohonan maaf atas keresahan yang timbul serta menerima teguran dan pandangan yang dikemukakan.

Kedua-dua pihak turut bersetuju dengan keputusan mesyuarat dan memberikan komitmen untuk melaksanakan tindakan penambahbaikan.

Proses suntingan semula hendaklah mengambil kira Garis Panduan Penapisan Filem oleh Lembaga Penapis Filem (LPF), Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Garis Panduan Kandungan Terkurasi Dalam Talian atau Online Curated Content Guidelines (OCC Guidelines) oleh CMCF.

Kesemua episod yang telah disunting akan dikemukakan kepada jawatankuasa penilai yang melibatkan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tiada tempoh khusus ditetapkan bagi tayangan semula drama tersebut kerana ia bergantung kepada penyerahan versi baharu oleh pihak produksi dan iQIYI serta hasil penilaian jawatankuasa berkenaan.


FINAS ingin menjelaskan bahawa agensi ini bukan badan penapisan kandungan dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengawal selia secara langsung kandungan yang disiarkan melalui platform OTT.

Berdasarkan Akta FINAS, fungsi kawal selia FINAS merangkumi aktiviti perfileman, pelesenan syarikat produksi dan pawagam serta perkara berkaitan industri perfileman.

FINAS bukan badan penapisan dan tidak mengawal selia kandungan. CMCF melaksanakan kawal selia terhadap kandungan pada platform dalam talian berdasarkan Kod Kandungan serta Garis Panduan Kandungan Terkurasi Dalam Talian (OCC Guidelines), manakala Lembaga Penapis Filem (LPF) bertanggungjawab terhadap penapisan kandungan bagi tayangan pawagam serta kandungan tertentu yang disiarkan melalui saluran televisyen percuma ke udara (FTA).

MCMC pula mengawal selia industri komunikasi dan multimedia, termasuk penyiaran.

Walaupun tidak mengawal selia kandungan OTT secara langsung, FINAS memandang serius sebarang kandungan yang boleh menimbulkan keresahan awam atau menyentuh sensitiviti agama, kaum, budaya dan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, FINAS akan menambah baik syarat serta tatacara Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), termasuk meneliti keperluan memasukkan syarat tambahan berkaitan pematuhan terhadap garis panduan kandungan dan tanggungjawab produksi, tanpa mengira medium atau platform tayangan.

Penambahbaikan ini bertujuan memastikan syarikat produksi yang menjalankan
penggambaran di Malaysia mengambil
tanggungjawab sewajarnya terhadap kandungan yang dihasilkan, termasuk bagi platform antarabangsa, OTT dan platform digital.

FINAS menyeru semua penerbit dan platform penstriman supaya mematuhi garis panduan berkaitan, mengamalkan kawal selia kendiri serta memastikan kebebasan berkarya dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira nilai masyarakat dan kepentingan awam.

Anda mungkin berminat dengan

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB585

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB585

adidas Football Manchester United 25/26 Third Jersey Men Black KD4225

adidas Football Manchester United 25/26 Third Jersey Men Black KD4225

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

adidas Football Germany 26 Home Jersey Men White KD8363

adidas Football Germany 26 Home Jersey Men White KD8363

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

Must Watch Video

Advertisement