Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, masih memilih untuk tidak berkongsi mengenai statusnya sama ada masih bujang atau telah mendirikan rumah tangga.
Menurut Irma, perkara tersebut bukan menjadi keutamaanya kerana dia percaya bahawa setiap perkara yang dikeluarkan dari mulutnya tetap akan menjadi buah mulut ramai.
Advertisement
“Saya minta maaf, bab peribadi saya lebih selesa untuk tidak menjawab. Saya tahu ramai tanya. Walaupun orang tanya secara peribadi atau melalui WhatsApp sekalipun, saya tetap berpegang pada pendirian yang sama. Bagi saya, lebih adil begitu.
“Saya rasa sama sahaja, kalau saya beritahu pun, orang akan tetap bercakap. Jadi lebih baik saya berdiam diri.
“Mengenai hal ini (status), saya rasa bukanlah untuk diuar-uarkan kepada umum. Bagi saya, yang tahu, tahulah,”katanya ketika ditemui Gempak.
Irma ditemui ketika menghadiri Majlis Tayangan filem Hayya 3: Gaza di Pavillion Bukit Jalil pada malam Jumaat.
Sementara itu, aktres filem Cinta Fotokopi itu turut akui bahawa dia memilih untuk tidak berkongsi kerana bimbang akan mencetuskan pelbagai spekulasi serta perlu menjaga hati banyak pihak terutama keluarganya.
“Saya pilih untuk diam sebab bila bercakap pun, nanti jadi sukar. Akan timbul pelbagai tafsiran dan andaian.
“Keluarga saya pun kena jaga, bukan sekadar anak-anak, tapi juga keluarga besar saya. Emak dan ayah dah tiada, jadi saya kena fikir juga tentang ibu, pakcik, makcik, dan keluarga sebelah sana. Saya tak nak membebankan mereka dengan isu-isu peribadi saya.
“Tentang spekulasi orang, benda itu memang tak boleh dielak. Zaman sekarang, apa pun kita buat, orang tetap akan bercakap. Jadi lebih baik saya jaga percakapan dan elakkan fitnah,”ujarnya.
Terdahulu, Irma pernah bergelar isteri kepada Redza Syah Azmeer selepas disatukan pada tahun 2012. Namun, telah berakhir pada penghujung 2023.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syed Irfha, 12, dan Irma Nur Naylie, 11 yang kini dibawah jagaan Irma.
Pada April 2024, Redza pula menamatkan zaman dudanya dengan wanita bernama Nur Hafiza Mohd Salim.