Sekilas
- Pelakon Kamal Adli meluahkan kesedihan dan tidak menerima alasan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang meragut nyawa beberapa mangsa.
- Kamal baru sahaja berjumpa dengan salah seorang mangsa, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, di kafe miliknya minggu lalu sebelum tragedi tersebut berlaku.
- Empat orang disahkan meninggal dunia termasuk Nur Atiqah, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 LPT1 arah Kuantan pada Ahad malam.
Pelakon, Kamal Adli meluahkan rasa terkilan selepas mendengar khabar duka mengenai kemalangan jiwa melibatkan sebuah lori dan beberapa buah kenderaan
Menerusi perkongsian di Threads, Kamal tidak boleh menerima apa jua alasan yang bakal diberikan pemandu lori terbabit hingga boleh meragut nyawa orang yang tidak bersalah.
“Laju nak mampus lori, sampai jadi sandwich kereta itu. Apa pun alasan pemandu lori itu aku tak nak terima,”tulisnya.
Menurut Kamal, dia baru sahaja berjumpa dengan salah seorang mangsa iaitu Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan di kafe miliknya pada minggu lepas.
“Aku baru sahaja minggu lepas balik dari kafe Secangkir milik arwah. Ya allah tempatkanlah mereka di dalam kalangan orang yang beriman,”kongsinya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rakan kepada arwah iaitu Aziera Yazid turut memuat naik tangkap layar perbualan group whatsaap arwah bersama rakan-rakannya yang teruja bertemu dengan bekas hero remaja itu.
“Arwah Sofiya punyalah teruja Kamal datang kafe dia minggu lepas. Terus kongsikan pada kami dalam gorup geng gym. Dengan kami semua teruja dan rasa nak pergi terus Secangkir malam itu,”ujarnya.
Dalam masa sama, rakannya turut berkongsi sifat peribadi arwah yang baik hati dan pemurah, selain memohon agar orang ramai menitipkan doa kepada Sofiya dan keluarganya.
“Arwah memang orang yang sangat baik dan tak berkira. Tolong doakan dan sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Sofiya, suami dan anaknya,”katanya.

Sekadar info, empat orang disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan - sebuah lori tangki, sebuah bas ekspres dan sembilan kereta di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Lanchang menghala ke Kuantan pada Ahad malam.
Tiga daripada mangsa yang terkorban merupakan pemandu dan penumpang kereta Proton S70 iaitu Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak lelaki.
Manakala, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah seorang lelaki dewasa berbangsa Cina yang berada di dalam kenderaan Honda CRV.