Sekilas
- Namron jelaskan isu pelakon muda yang didakwa minta bayaran RM100,000 sebagai teraju utama filem.
- Penerbit biasanya nilai market pelakon dulu sebelum tawar bayaran tinggi, termasuk rekod kutipan dan populariti.
- Bayaran lebih RM100,000 ada, tapi hanya untuk pelakon yang sudah buktikan kemampuan dan populariti mereka.
Pelakon, Namron tampil menjelaskan perkongsiannya mengenai isu pelakon muda yang didakwa meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai peneraju utama filem.
Menerusi perkongsian di Threads, Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan,56 tidak menafikan ada pelakon yang dibayar dengan nilai tersebut.
Bagaimanapun, penerbit kebiasaannya akan menilai market seseorang pelakon itu terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang tawaran.
“Ada juga yang salah faham mengenai pelakon minta bayaran RM100,000 itu. Bukan tiada pelakon yang dibayar RM100,000 untuk berlakon filem cuma penerbit akan tengok dulu dari segi market dia macam mana.
“Contoh, kalau pelakon itu dah membuktikan filem lakonan dia memang akan box office dan kutipan puluh juta. Selepas itu, kalau dia pernah menang anugerah pula, followers pun ramai,”tulisnya.
Menurut Namron, ada sahaja penerbit yang sanggup membayar pelakon yang memenuhi kriteria tersebut dan ada juga yang lebih dari nilai tersebut.
“Penerbit berani sahaja nak bayar dia. Lebih RM100,000 pun ada. Tapi kalau belum membuktikan apa-apa susah sikitlah penerbit nak bayar nilai itu,”kongsinya,
Terdahulu, Namron mencuri perhatian selepas berkongsi kisah seornag penerbit yang terkejut apabila seorang pelakon muda didakwa meminta bayaran sebanyak RM100,000 untuk membintangi sebuah filem sebagai teraju utama.