Sekilas
- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat video tular aktiviti senaman aerobik di Bukit Badong yang didakwa tidak sopan dan melanggar adab Islam.
- Pihak polis juga membuka kertas siasatan berhubung program zumba tersebut yang disiarkan secara langsung di TikTok dan memaparkan peserta berpakaian tidak sesuai.
- Orang ramai diminta membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline JAIS atau balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat rakaman video aktiviti senaman aerobik yang tular baru-baru ini dan didakwa berlaku di Bukit Badong, Selangor.
Rakaman video itu memaparkan seorang wanita bertudung memakai baju putih dan skirt pendek ketika aktiviti senam aerobik.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan yang dilakukan pihaknya termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu-individu yang terbabit dalam acara itu.
"Pihak JAIS memandang serius perbuatan itu dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana ia sangat tidak beradab.
Malah, perbuatan itu mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina," katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan BHarian.
Justeru itu, beliau berkata, JAIS memohon kerjasama daripada orang awam untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Hotline JAIS di talian 1800-88-2424.
Pada masa yang sama, AWANI melaporkan polis membuka satu kertas siasatan berhubung penularan gambar dan video program senaman aerobik atau zumba yang didakwa tidak sopan itu ketika berlangsung di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya mengesan gambar dan video berkaitan program tersebut yang dimuat naik di sebuah laman Facebook kira-kira jam 11.13 pagi.
Menurutnya, program berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi aplikasi TikTok sebelum rakaman gambar serta video tular di media sosial.
“Hasil siasatan awal mendapati program zumba itu diadakan dengan tema ‘Back To School’.
“Bagaimanapun, dalam rakaman yang tular, terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah yang didapati tidak memakai kain, selain seorang lagi individu hanya mengenakan seluar legging,” katanya dalam kenyataan semalam.
Azaharudin berkata, siasatan lanjut mendapati salah seorang peserta dipercayai menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan ketika program berlangsung.
Sehubungan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.