Sekilas
- Private Pension Administrator (PPA) melancarkan Hari PRS sebagai inisiatif pertama di Malaysia untuk tingkatkan kesedaran dan literasi perancangan persaraan.
- Acara ini berlangsung pada 11 dan 12 Julai di MyTOWN Shopping Centre, menawarkan khidmat nasihat, bengkel kewangan, pemeriksaan kesihatan, dan aktiviti menarik lain.
- Sehingga Disember 2025, PRS mempunyai 671,736 ahli dengan aset RM8.8 bilion, namun ramai masih tangguh perancangan persaraan kerana komitmen kewangan dan anggapan persaraan jauh lagi.
Perancangan persaraan bukan lagi sesuatu yang hanya perlu difikirkan apabila usia semakin meningkat.
Atas kesedaran itu, Private Pension Administrator (PPA) melancarkan Hari PRS, inisiatif awam pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada perancangan persaraan, literasi kewangan dan kesejahteraan kewangan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, Hari PRS diwujudkan bagi mengubah persepsi masyarakat yang sering menganggap perancangan persaraan hanya penting apabila menghampiri usia persaraan.
"Kami mahu menjadikan perancangan persaraan lebih mudah diakses, mudah difahami dan relevan kepada rakyat Malaysia pada setiap peringkat kehidupan daripada golongan profesional muda yang baru memulakan kerjaya, keluarga yang merancang masa depan kewangan hinggalah individu yang sedang membuat persediaan persaraan," katanya.

Menurut beliau, program bertemakan 'Nak Senang Bila Bersara! Jom PRS!' itu menghimpunkan kesemua tujuh Penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) bersama sebuah Pengedar PRS di bawah satu bumbung.
Pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar, malah berpeluang membandingkan pilihan simpanan persaraan serta memahami bagaimana PRS dapat membantu merancang kewangan untuk jangka panjang.
Hari PRS akan berlangsung pada 11 dan 12 Julai, dari 10 pagi hingga 10 malam di Ground Floor Flash Retail Area, MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Program yang terbuka kepada orang ramai itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bengkel literasi kewangan, konsultasi persaraan, pemeriksaan kesihatan percuma, kopi percuma, cabutan bertuah, permainan interaktif, hadiah eksklusif serta peluang membuka akaun PRS di lokasi acara.
Menurut Taufiq, sehingga 31 Disember 2025, PRS merekodkan 671,736 ahli dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM8.8 bilion, manakala jumlah caruman sepanjang tahun lalu mencecah hampir RM1 bilion.
Bagaimanapun, beliau berkata masih ramai rakyat Malaysia menangguhkan perancangan persaraan kerana memberi tumpuan kepada komitmen kewangan semasa atau menganggap persaraan masih jauh.
"Walaupun kesedaran semakin meningkat, ramai rakyat Malaysia masih menangguhkan perancangan persaraan kerana komitmen kewangan semasa atau beranggapan persaraan masih terlalu jauh.
"Dengan peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat yang lebih panjang, keperluan membina simpanan persaraan yang mampan kini menjadi semakin penting," katanya.
Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan Hari PRS sepanjang dua hari penganjurannya.