Rakaman memaparkan jasad seorang lelaki yang masih sempurna meskipun sudah meninggal dunia selama 30 tahun heboh diperkatakan masyarakat setempat.
Menerusi klip itu, proses pemindahan kubur sedang dilakukan dan turut disaksikan ahli keluarganya.
"Kelihatan kain kafan juga masih bersih. Beberapa individu kemudiannya mengangkat jasad lelaki dikenali sebagai Zainuddin ke atas terpal dan kain putih," lapor detiknews.
Kejadian itu berlaku di Desa Salama, Kecamatan Sabbang, Sulawesi Selatan di Indonesia pada Rabu.
Kepala Desa Bakka, Jidil berkata, kubur milik Zainuddin digali semula atas permintaan anaknya yang mahu ia dipindahkan berhampiran rumahnya di Desa Bakka, Kecamatan Sabbang, Lutra.
Adik Allahyarham, Syarifuddin turut berkongsi momen pemindahan jasad tersebut.
"Papan yang digunakan untuk menutupi jasadnya di dalam liang lahad juga tidak terjejas dan muncul bau harum semerbak ketika penggalian dibuat. Disebabkan keadaan jasadnya yang tidak reput, kami perlu meminta bantuan ambulans untuk ke lokasi baharu," jelasnya..
Menurut Syarifuddin, Allahyarham meninggal dunia ketika usia 40 tahun pada 1995.
Sumber: Sinar Harian