Sekilas
- Ernie Zakri berkongsi impian lamanya untuk menjadi pramugari, khususnya di business class, jika bukan sebagai penyanyi.
- Selain itu, Ernie juga menyatakan dia akan terus berada dalam industri seni, mungkin di belakang tabir, kerana kecintaannya terhadap muzik sangat mendalam.
- Showcase eksklusif "A Letter From Ernie Zakri" di 1 Utama menarik kira-kira 600 peminat dengan persembahan 12 lagu istimewa dan menjadi simbolik kejayaan kariernya selepas Konsert Aura Januari lalu.
Penyanyi terkenal, Ernie Zakri meraih perhatian ramai selepas menjawab soalan yang diajukan peminat mengenai kerjaya pilihan yang paling sesuai dengan personalitinya sekiranya dia bukan seorang penyanyi.
Menurut Ernie, sejak dahulu lagi dia menyimpan impian untuk menjadi pramugari dan perkara itu bukan lagi rahsia kerana para peminat sudah pun mengetahui betapa dia ingin merasai pengalaman bekerja dalam industri penerbangan.
"Pramugari. Saya rasa Nators tahu saya nak jadi pramugari tetapi nak business class sahaja," katanya kepada Gempak.
Perkongsian itu dibuat ketika Ernie menganjurkan showcase eksklusif “A Letter From Ernie Zakri Show” di 1 Utama Shopping Centre pada Sabtu.
Bagaimanapun, pelantun lagu Masing-Masing itu menjelaskan bahawa sekiranya bukan sebagai pramugari, dirinya tetap akan berada dalam industri seni cuma di belakang tabir memandangkan minat dan kecintaannya terhadap muzik begitu mendalam.
"Saya tak boleh bayangkan. Saya dididik dari kecil mengenai seni. Saya tak pandai buat benda lain selain menyanyi. Ataupun mungkin belakang tadbir. Saya tak boleh jauh dari muzik sebab ia sangat dekat di hati saya," ujarnya.
Dalam masa sama, showcase “A Letter From Ernie Zakri” dihadiri kira-kira 600 peminat dengan Ernie menyampaikan 12 buah lagu istimewa.
Showcase berdurasi dua jam itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi ruang pertemuan jiwa antara Ernie dan peminat yang hadir untuk mendengar suara hatinya baik melalui muzik mahupun kata-kata yang ditujukan khusus buat mereka.
Lebih istimewa, sesi kali ini turut membawa simbolik tersendiri dalam perjalanan karier Ernie, susulan kejayaan Konsert Aura yang berlangsung megah di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 25 Januari lalu.