Sekilas
- Kamal Adli mengakui tidak pernah terlintas untuk melafazkan cerai terhadap isterinya, Uqasha Senrose, dan masih berharap untuk rujuk demi anak mereka, Hawra Uqaira.
- Lafaz cerai talak satu secara raji’e yang dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur memberi ruang dan harapan untuk pasangan ini kembali bersama.
- Uqasha memfailkan permohonan cerai pada Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman, selepas mereka berkahwin pada November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Meskipun akhirnya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang menyaksikan rumah tangga mereka berakhir hari ini, pelakon Kamal Adli mengakui tidak pernah terlintas di hatinya untuk melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Uqasha Senrose.
Menurut Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Adli, 40, dia masih menyimpan harapan untuk kembali rujuk demi Uqasha dan anak tunggal mereka, Hawra Uqaira.
“Saya tak nak lafaz, sumpah demi Allah saya tak nak. Saya harap saya dapat peluang untuk rujuk semula.
“Saya tidak mampu untuk lafaz pun tadi. Benda ini paling tak best dalam hidup saya. Saya tak kuat sebenarnya. Saya tak nak pun lafaz,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Tambah Kamal, dia sudah berusaha mempertahankan rumah tangga mereka sejak awal dan menegaskan tindakannya bukan sekadar lakonan atau untuk menjaga imej.
“Saya sudah cuba pertahankan dari awal, saya bukan nak jadi fake ke apa. Allah dah takdirkan sampai sini sahaja tapi saya tak nak sampai sini, saya berharap.
“Saya tiada benda lain, ada Uqasha dan anak sahaja. Saya cuba,” luahnya sebak.
Sementara itu, peguam yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh berkata, masih wujud ruang dan harapan untuk pasangan tersebut kembali bersama memandangkan lafaz yang dibuat adalah talak satu secara raji’e.
“Sentiasa ada harapan. Kalau kita berada di posisi Kamal juga, dia masih lagi berharap.
“Harapan itu masih boleh dipanjangkan dengan mendapatkan lafaz talak secara raji’e iaitu talak yang boleh dirujuk.
“Dalam tempoh ini, Kamal masih lagi boleh berharap dan boleh berusaha sekiranya ada jodoh di antara mereka berdua,” katanya.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari Isnin.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Puan Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula dari tarikh lafaz talak dibuat serta mendaftarkan perceraian mereka.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan bertunang.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.