Sekilas
- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun masih menerima rawatan di hospital hampir sebulan selepas dicampak ke dalam kandang buaya di sebuah zoo di England.
- Kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius termasuk patah tangan dan tulang pelvis serta telah menjalani tujuh pembedahan besar, termasuk pemindahan saraf untuk memulihkan fungsi tangan kiri.
- Suspek yang mencampak mangsa didakwa mempunyai masalah pembelajaran dan dibebaskan dengan jaminan selepas polis mendapati dia tidak sesuai untuk disoal siasat kerana keadaan mentalnya.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menjadi mangsa insiden mengerikan selepas dicampak ke dalam kandang buaya kini dilaporkan masih menerima rawatan di hospital hampir sebulan selepas kejadian.
Dalam insiden yang berlaku pada 18 Jun lalu di Johnsons of Old Hurst di Huntingdon, Cambridgeshire, England, mangsa dipercayai dicampak kira-kira 15 kaki ke dalam kandang yang menempatkan sekurang-kurangnya 15 ekor buaya oleh seorang lelaki.
Suspek yang berusia 30 tahun didakwa mempunyai masalah pembelajaran melawat zoo bersama dua penjaganya ketika kejadian, lapor DailyMailUk.
Menurut laporan, kanak-kanak itu terjatuh di laluan konkrit sebelum digigit seekor buaya, mengakibatkan dia mengalami patah tangan dan tulang pelvis serta kecederaan serius pada beberapa bahagian badan. Sejak insiden berlaku, kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Addenbrooke's, Cambridge dan telah menjalani tujuh pembedahan besar sejak kejadian.
Pembedahan terbaharu dilakukan pada Rabu lalu melibatkan prosedur pemindahan saraf bagi memulihkan fungsi tangan kirinya yang cedera teruk.
Keluarganya memberitahu doktor mengambil sebahagian saraf dari kaki mangsa untuk menggantikan saraf yang rosak di bahagian lengannya.
Nenek mangsa yang turut membuka kempen kutipan dana di GoFundMe berkata cucunya mengalami kerosakan serius pada tendon, saluran darah dan tisu di bahagian lengan, leher, kepala serta muka.
Keadaan itu memaksa pasukan doktor menjalankan pembedahan kecemasan selama 12 jam sejurus selepas kejadian. Keadaan kanak-kanak itu dilaporkan kini beransur stabil.
Terdahulu, seorang pengunjung lelaki didakwa mengangkat mangsa melepasi pagar keselamatan sebelum mencampaknya ke dalam kandang buaya. Pemilik zoo, Andy dan Tracey Johnson serta anak mereka Edward telah bertindak pantas terjun ke dalam kandang buaya untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.
Suspek yang ditahan pada hari sama atas cubaan membunuh kemudiannya dibebaskan dengan jaminan selepas polis mendapati dia tidak sesuai untuk disoal siasat kerana keadaan mentalnya.