Sekilas
- Seorang ketua sami kuil diraja di Ayutthaya, Thailand, ditahan polis atas dakwaan menyeleweng dana kuil lebih 92 juta baht (RM11.5 juta) dan memindahkan wang kepada seorang wanita rapat dengannya.
- Sami berusia 66 tahun itu ditahan berdasarkan waran mahkamah antirasuah atas pertuduhan salah guna harta, salah laku tugas, dan pengubahan wang haram.
- Polis turut menemui bukti rakaman CCTV yang menunjukkan sami tersebut bermesra dan melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit, sementara siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti aset berkaitan kes.
Seorang ketua sami sebuah kuil diraja di Ayutthaya Thailand ditahan polis semalam atas dakwaan menyeleweng dana kuil berjumlah lebih 92 juta baht (RM11.5 juta) selain memindahkan wang kepada seorang wanita yang rapat dengannya.
Menurut laporan The Nation, sami berusia 66 tahun dikenali sebagai Phra Wachirayan atau Luang Pho Atichot Dhammavaro itu ditahan Bahagian Pembanterasan Jenayah (CSD) di kediamannya di Wat Phutthaisawan.
Penahanan dibuat berdasarkan waran yang dikeluarkan mahkamah antirasuah pada 8 September lalu atas beberapa pertuduhan termasuk salah guna harta, salah laku dalam menjalankan tugas serta pengubahan wang haram.
Siasatan bermula selepas polis menerima maklumat mendakwa sami berkenaan menyeleweng dana kuil selain terlibat dalam hubungan seksual.
Menurut penyiasat, lebih 20 resit sumbangan dipercayai dikeluarkan secara tidak wajar atas nama kuil dalam tempoh melebihi dua tahun sehingga menyebabkan kerugian lebih 92 juta baht.
Polis mendakwa wang milik kuil tersebut digunakan untuk kepentingan peribadi sebelum sebahagiannya dipindahkan kepada wanita berkenaan untuk ditukar kepada bentuk aset lain.
Dalam serbuan sama, polis turut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman sami tersebut yang didakwa menunjukkan dia bermesra dan melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan.
Siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan bukti tambahan selain mengenal pasti aset yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut untuk tindakan pembekuan.
Sami berkenaan kemudian dibawa ke CSD bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: The Nation