Sekilas
- Nenek individu ini membesar semasa zaman penjajahan Jepun dan pernah mengalami kehilangan abangnya yang ditarik paksa oleh tentera Jepun ketika bermain di kampung.
- Walaupun kehilangan itu menyedihkan, neneknya tidak sempat berduka kerana keadaan hidup yang sangat huru-hara pada masa itu.
- Neneknya mengetahui Tanah Melayu sudah merdeka apabila kapal terbang menjatuhkan kertas pengumuman pada hari kemerdekaan.
Seorang individu berkongsi kisah neneknya yang membesar ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Menerusi perkongsian di Threads, individu yang dikenali dengan username @fy_ddrst itu berkata neneknya pernah menceritakan pengalaman ketika sedang bermain bersama adik-beradiknya di hadapan rumah.
Menurutnya, ketika mereka sedang bermain, sebuah lori yang membawa tentera Jepun tiba-tiba masuk ke kawasan kampung sebelum abangnya ditarik secara paksa dan dibawa pergi.
Lebih menyedihkan, abang nenek berkenaan tidak pernah kembali dan sehingga kini masih tidak diketahui nasibnya.
“Nenek aku membesar zaman Jepun. Dia pernah cerita, tengah seronok main depan rumah dengan adik-beradik, tiba-tiba ada trak askar Jepun masuk kawasan kampung.
“Lalu depan nenek aku dan adik-beradik dia, Jepun terus tarik sahaja abang nenek aku naik lori. Sampai sekarang nenek aku tak jumpa abang dia,” tulisnya.
Ketika individu itu bertanya kepada neneknya sama ada kehilangan itu membuatkan dirinya sedih, neneknya berkata dia tidak sempat memikirkan kesedihan kerana kehidupan ketika itu terlalu huru-hara.
“Aku pernah tanya nenek aku tak sedih ke. Dia jawab tak sempat nak sedih. Yelah, zaman itu kehidupan huru-hara,” ujarnya.
Dalam pada itu, netizen berkenaan turut berkongsi bagaimana neneknya mengetahui bahawa Tanah Melayu sudah mencapai kemerdekaan.
“Setiap kali hari merdeka, aku suka suruh dia flashback, ‘macam mana tahu hari itu hari merdeka?’ Dia akan jawab kapal terbang lalu, tabur kertas dari atas dan beritahu sudah merdeka,” kongsinya.