Skip to main content

Jenayah

Lagi Kes Buli, Pelajar Pengsan Dipukul Dalam Tandas Asrama

buli

Sekilas

  • Empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun ditahan untuk siasatan selepas seorang pelajar lelaki dipukul hingga pengsan dalam tandas asrama sekolah.
  • Mangsa ditemui pengsan oleh guru dan dibawa ke hospital untuk rawatan, dipercayai dipukul kerana memburukkan rakan salah seorang suspek.
  • Kejadian berlaku tengah malam tanpa rakaman CCTV dan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Empat pelajar ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki dipukul hingga pengsan sebelum ditemui dalam tandas asrama sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mengesahkan penahanan empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun itu susulan kejadian yang dilapor berlaku tengah malam Isnin lalu.

"Setakat ini seorang daripada empat pelajar terbabit iaitu yang berusia 16 tahun direman di Mahkamah Sungai Petani untuk membantu siasatan, manakala tiga yang lain dilepaskan," katanya melalui kenyataan.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah Isnin lalu pada jam 9.05 pagi, memaklumkan anaknya ditemui pengsan dalam tandas sekolah itu.

Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

"Ibu mangsa memaklumkan, anaknya memberitahu dia dipercayai dipukul beberapa pelajar kira-kira jam 12.10 tengah malam Isnin lalu sehingga pengsan.

Siasatan mendapati kejadian berlaku dalam asrama sekolah dengan punca dipercayai kerana mangsa dikatakan memburukkan rakan kepada salah seorang pelajar terbabit.

"Berikutan itu suspek mengajak tiga lagi rakannya untuk mencari mangsa sehingga menyebabkan pergaduhan berlaku," katanya.

Hanyan berkata, ini kejadian pertama membabitkan sekolah itu dan tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. - BERITA HARIAN

Must-Watch Video

Advertisement