Skip to main content

Selebriti

Lantang Bersuara, Deborah Henry Pernah Kena 'Cancel' Dengan Organisasi Ratu Cantik - "Mereka Tak Jemput Saya Untuk Crowning..."

Deborah Henry

Sekilas

  • Deborah Henry mendedahkan dia pernah 'cancel' oleh pengurusan Miss World 2007 selepas menyuarakan pandangan sendiri.
  • Beliau menegaskan pentingnya peserta mempertahankan diri dan mempersoalkan relevansi kecantikan semata-mata dalam pertandingan ratu cantik.
  • Deborah juga terlibat dalam dokumentari Dignified: The Faisal Cup Story yang mengangkat kisah anak-anak pelarian berjuang capai impian di Malaysia.

Bekas ratu cantik negara, Deborah Henry mendedahkan bahawa dia pernah kena 'cancel' oleh pihak pengurusan ketika menyertai pentas Miss World pada tahun 2007.

Deborah berkongsi bahawa kejadian itu berlaku hanya kerana dia menyuarakan pandangannya kepada pihak pengurusan, sehingga dia tidak menerima jemputan ke sesi menabalkan pengganti.

“Saya lebih memihak kepada peserta kerana saya percaya kita perlu pertahankan diri dan hak kita. Saya sendiri pernah lalui pengalaman sama, ketika saya menyuarakan pandangan kepada pihak pengurusan Miss World pada 2007. 

"Akhirnya, mereka tidak menjemput saya untuk sesi 'crowning', malah saya terus ‘cancelled’. Tidak ramai yang tahu mengenai perkara ni. Ini juga menunjukkan bahawa setiap tindakan ada risikonya," katanya kepada Gempak.

Deborah berkata demikian ketika ditanya mengenai isu tular membabitkan pengarah Thailand serta peserta Miss Universe semasa menghadiri tayangan istimewa Dignified: The Faisal Cup History di Pavilion Bukit Bintang pada Selasa.

Dalam masa sama, Deborah turut mempersoalkan sejauh mana relevannya kedudukan seseorang peserta yang hanya kelihatan cantik di atas pentas namun tidak mempunyai keistimewaan lain.

“Dalam industri ini, kebanyakkan peserta masih muda dan kurang keyakinan diri. Sebab itu mudah untuk orang ambil kesempatan. Kita sendiri kena berani pertahankan diri dan bersuara, itu yang paling penting.

"Pentas kecantikan memang tempat yang baik untuk timba pengalaman, tapi persoalannya, sejauh mana relevan sebenarnya kedudukan peserta-peserta ini. Adakah kecantikan di atas pentas sahaja yang dinilai. Kedua-dua pihak peserta dan pengurusan perlu bersama-sama mencari jawapan tentang isu relevansi ini," ujarnya.

Untuk rekod, Deborah pernah bergelar Miss Malaysia World 2007 dan Miss Universe Malaysia 2011.

Beliau turut mencipta sejarah apabila berjaya memasuki pusingan separuh akhir Miss World 2007, kejayaan pertama buat Malaysia selepas Lina Teoh pada 1998.

Dalam perkembangan lain, Deborah turut tampil dalam dokumentari Dignified: The Faisal Cup Story yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Karya itu mengangkat kisah sekumpulan anak-anak pelarian yang berani menyimpan impian hampir mustahil untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebuah simbol prestij yang sebelum ini langsung tidak terbuka kepada mereka.

Perjalanan mereka menjadi bukti bahawa anak muda pelarian juga mampu mencipta kejayaan sekiranya diberi peluang oleh masyarakat.

Must-Watch Video

Advertisement