Sekilas
- Thailand kini mencatat lebih 500,000 kes kumulatif HIV sehingga suku ketiga tahun fiskal 2026, dengan Bangkok mencatat kes tertinggi sebanyak 88,535.
- Golongan muda berusia 15 hingga 24 tahun antara yang paling terkesan, dengan lebih 25,000 kes direkodkan dalam kumpulan umur tersebut di seluruh negara.
- Lebih 83 peratus pesakit HIV yang mendapatkan rawatan meneruskan terapi antiretroviral secara konsisten, membantu mengawal virus dan mengurangkan risiko penularan.
Thailand kini berdepan angka jangkitan HIV yang agak membimbangkan apabila lebih 500,000 kes kumulatif atau terkumpul direkodkan berdasarkan data tahun fiskal 2026 sehingga suku ketiga.
Daripada jumlah itu, Bangkok mencatat kes tertinggi dengan 88,535 kes, diikuti Chon Buri sebanyak 31,072 kes dan Chiang Mai dengan 23,949 kes, lapor Bangkok Post.
Bukan tiga wilayah itu sahaja yang mencatat angka tinggi. Sebanyak 13 wilayah di Thailand merekodkan lebih 10,000 kes, termasuk Chiang Rai, Nakhon Ratchasima, Samut Prakan, Nonthaburi, Khon Kaen, Pathum Thani, Udon Thani, Rayong, Songkhla dan Ubon Ratchathani.
Songkhla misalnya dilaporkan sudah merekodkan 10,644 kes secara kumulatif.
Apa yang lebih mencuri perhatian, golongan muda dan mereka yang berada dalam usia bekerja antara kumpulan yang banyak terkesan. Hubungan seks tanpa perlindungan menjadi antara faktor utama penularan HIV di negara tersebut.
Malah, golongan berusia 15 hingga 24 tahun kini menjadi perhatian serius selepas lebih 25,000 kes kumulatif direkodkan dalam kumpulan umur tersebut di seluruh negara.
Bagaimanapun laporan sama mendedahkan lebih 83 peratus individu yang mendapatkan rawatan HIV kini meneruskan terapi antiretroviral secara konsisten dan berjaya mencapai tahap virus yang terkawal. Rawatan berterusan bukan sahaja membantu menjaga kesihatan mereka, malah mengurangkan risiko penularan kepada orang lain.
Di Songkhla, pihak berkuasa turut mempergiat usaha menggalakkan orang ramai menjalani ujian HIV, mendapatkan kaunseling serta meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan.