Sekilas
- Igho ‘Tiny’ Ubiribo, pempengaruh dan usahawan Britain, meninggal dunia akibat komplikasi selepas menjalani prosedur kosmetik pembesaran alat sulit di Thailand.
- Upacara pengebumiannya di London berlangsung mewah dengan keranda emas 24 karat bernilai sekitar £600,000 dan kereta jenazah Rolls-Royce putih.
- Ratusan ahli keluarga dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir, manakala siasatan mendapati Igho mengalami embolisme pulmonari selepas prosedur tersebut.
Pemergian pempengaruh dan usahawan Britain, Igho ‘Tiny’ Ubiribo, 43, kembali menjadi perhatian apabila upacara pengebumiannya dilaporkan berlangsung dalam suasana cukup mewah.
Igho yang mempunyai lebih 185,000 pengikut di Instagram meninggal dunia selepas mengalami komplikasi susulan prosedur kosmetik pembesaran alat sulit yang dilakukan di Thailand.
Menurut laporan Wolipop, upacara pengebumian mendiang yang berlangsung di London mencuri perhatian apabila dia dikebumikan menggunakan keranda emas yang dilaporkan bernilai sekitar £600,000, bersamaan kira-kira Rp13 bilion.
Keranda berkenaan dikatakan diperbuat daripada emas 24 karat dan dibawa menggunakan kereta jenazah Rolls-Royce berwarna putih.
Ratusan individu termasuk ahli keluarga dan kenalan dilaporkan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Igho yang turut dikenali dengan nama Denisi dan Ego.
Sebelum kematiannya, Igho dilaporkan berkunjung ke Thailand bersama isterinya untuk menjalani prosedur kosmetik berkenaan.
Berdasarkan hasil siasatan di Britain, kira-kira 40 mililiter asid hialuronik dan lidocaine dipercayai disuntik ketika prosedur dilakukan.
Keadaannya kemudian merosot apabila mengalami sakit dada sebelum pengsan.
Igho dikejarkan ke hospital tempatan, namun nyawanya gagal diselamatkan. Hasil siasatan mendapati dia mengalami embolisme pulmonari.
Igho sebelum ini sering berkongsi kehidupan mewah bersama isterinya menerusi media sosial.
Malah, pasangan berkenaan sempat meraikan ulang tahun perkahwinan ketiga mereka pada 2025.
Dalam salah satu hantaran sempena ulang tahun perkahwinan pada Julai tahun lalu, Igho menyifatkan setiap hari bersama isterinya sebagai satu anugerah dan meluahkan rasa syukur atas kehidupan yang mereka bina bersama.
Kematian mengejut Igho kemudian menjadi perhatian susulan pendedahan mengenai prosedur kosmetik yang dilaluinya sebelum keadaan kesihatannya merosot.