Sekilas
- Pelakon Niezam Zaidi tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mencetuskan kontroversi di media sosial yang menjejaskan nama baiknya.
- Niezam telah berbincang dengan peguam dan diberitahu peluang untuk menang kes adalah cerah, namun masih belum membuat keputusan kerana memikirkan kesan kepada keluarga bekas kekasihnya.
- Dia memilih untuk memaafkan semua pihak yang terlibat dan memberi tumpuan kepada kerjaya seni tanpa mahu bermusuh atau mencari masalah.
Pelakon, Niezam Zaidi tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dipercayai mencetuskan kontroversi hangat di media sosial sebelum ini sehingga menjejaskan nama baiknya.
Menurut Niezam, apa jua naratif yang disampaikan oleh individu tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Apa naratif yang telah dikatakan, demi Allah tidak sama sekali benar kerana naratif yang dibuat itu adalah semata-mata untuk mengaibkan sebelah pihak.
“Aib yang dilakukan itu adalah aib antara privasi seseorang dan ia bukan seperti naratif yang digambarkan. Minta maaf, tetapi saya tidak mahu bercerita terlalu banyak mengenai perkara ini.
“Kenapa saya diam? Kadang bila kita bersuara, tak semua orang akan percaya. Kalau seseorang memang tidak suka kita, walaupun kita berada di pihak yang benar, belum tentu mereka akan percaya,” jelasnya.
Niezam berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Treler dan Poster filem Orang Perang di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.
Dalam pada itu, Niezam berkata dia juga telah membuat perbincangan bersama peguam dan dimaklumkan mempunyai peluang yang cerah sekiranya mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bukti yang dimiliki.
Namun kata Niezam, dia masih belum membuat keputusan untuk meneruskan tindakan tersebut kerana memikirkan kesan yang mungkin ditanggung keluarga bekas kekasihnya.
“Saya memang sudah mendapatkan pandangan daripada beberapa peguam. Peguam beritahu kemungkinan untuk saya menang kes ini adalah besar.
“Apabila saya dengar perkara itu, saya terfikir tentang keluarga pihak berkenaan.
“Saya fikir, untuk apa saya mahu lakukan sesuatu yang akhirnya mungkin memberi kesan kepada keluarga mereka? Allah lebih mengetahui apa yang saya rasa,” ujarnya.
Sementara itu, Niezam berkata dia sudah memaafkan semua pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut dan memilih untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya seninya.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana dia enggan mencari masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan.
“Saya tidak pernah mahu untuk tidak memaafkan orang. Saya maafkan sesiapa sahaja yang pernah bercakap mengenai saya termasuk jenama-jenama besar yang pernah mengolok-olok atau menggunakan perkataan ‘cadar’ untuk mempermainkan nama saya.
“Jangan risau, saya maafkan semua. Saya tidak mahu anda semua cari saya di akhirat nanti. Mahsyar itu luas. Di dunia pun kadang-kadang enam tahun kita tidak berjumpa,” ujarnya.
Sebelum ini, nama Niezam menjadi perhatian susulan perselisihan yang tercetus antara seorang aktres dan seorang wanita Singapura sehingga beberapa dakwaan berkaitan kehidupan peribadinya turut diperkatakan di media sosial.