Sekilas
- Pelakon Ieda Moin mengakui tidak tahu punca kehilangan rakan baiknya, Noorkhiriah, yang sudah lama tidak muncul di media sosial.
- Ieda berkata Noorkhiriah biasanya akan menghubunginya jika ada masalah, tetapi kali ini dia hilang tanpa khabar berita dan nombor telefonnya juga tidak aktif.
- Ieda memohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk Noorkhiriah dan memberi ruang kepadanya dalam fasa yang sedang dilalui.
Pelakon Ieda Moin mengakui dirinya turut tidak mengetahui punca kehilangan rakan baiknya, Noorkhiriah yang sudah lama tidak kelihatan di media sosial.
Menurut Ieda, dia sendiri tidak tahu fasa yang sedang dilalui Noorkhiriah ketika ini kerana sebelum ini Noorkhiriah akan sentiasa menghubunginya terlebih dahulu jika berdepan sebarang masalah.
“Secara jujurnya, saya sendiri sedang mencari kawan saya. Dia ‘MIA’ (missing in action). Sebenarnya saya boleh sahaja cari dia sebab saya antara kawan yang masih ada nombor dia, tetapi nombor yang biasa saya hubungi sudah tidak aktif. Mula-mula saya sendiri tak tahu kenapa.
“Selalunya sebagai seorang kawan, kalau dia ada apa-apa masalah, dia akan bercerita dengan saya. Kalau dia ada masalah besar pun, sebelum ini dia memang akan cari saya dan saya akan tahu ceritanya. Tapi kali ini dia tak berbuat demikian, jadi saya sendiri tak tahu dia sedang melalui fasa apa,” katanya kepada Gempak.
Ieda berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Cela terbitan Viu di TGV KLCC pada Khamis.
Dalam masa sama, Ieda turut berkata Noorkhiriah sebelum ini pernah menghilang buat sementara waktu sebelum kembali muncul.
“Kalau sebelum ini, memang pernah dia hilang sekejap dan kemudian muncul semula. Kadang-kadang apabila dia terasa dengan industri atau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya, dia memang tak nak cerita.
“Tapi kali ini dia betul-betul hilang dan saya sendiri tak tahu apa yang sedang berlaku. Jadi, saya tak berani nak buat sebarang andaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ieda memohon agar orang ramai mendoakan yang terbaik buat Noorkhiriah dan memberikan ruang kepada pelakon drama Nur itu.
“Memang ada yang bertanya dan mencari dia, termasuk wartawan dan rakan artis tetapi saya tak boleh nak beri apa-apa komen sebab saya sendiri tak tahu puncanya.
“Saya cuma nak kita semua doakan yang terbaik dan beri dia ruang dalam fasa yang sedang dilaluinya,” katanya.