Sekilas
- Seorang pengedar dadah dikenali sebagai MR atau "Bos Gendut" ditahan oleh Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia ketika menjalani rawatan sedut lemak di sebuah klinik kecantikan di Jakarta.
- MR menjadi buruan BNN sejak November 2025 selepas dikaitkan dengan kes pengedaran 98 kilogram syabu dan ditahan bersama dua pengikut setianya dalam serbuan di Kampung Bahari.
- Pelbagai barang bukti termasuk ganja, senjata api, wang tunai, serta aset bernilai RM9.8 juta dirampas, dan MR turut berdepan kes pengubahan wang haram.
Licik macam mana sekalipun, akhirnya tewas juga! Itulah yang berlaku kepada seorang pengedar dadah yang dikenali sebagai MR atau “Bos Gendut” yang ditahan selepas menjadi buruan Badan Narkotika Nasional (BNN), Indonesia sejak tahun lalu.
Lebih ‘dramatik’, Bos Gendut berjaya ditahan ketika sedang menjalani rawatan sedut lemak di sebuah klinik kecantikan di Mangga Besar, Jakarta. Pengarah Tindakan dan Pemburuan BNN, Brigedier Jeneral Roy Hardy Siahaan, pengedar dadah itu ditahan ketika sedang mendapatkan rawatan kecantikan di klinik terbabit pada Khamis, lapor Kompas.
“Ketika kami menangkap MR, dia berada di sebuah klinik kecantikan di Mangga Besar. Dia sedang menjalani prosedur sedut lemak di sebuah klinik,” katanya.
Detik penangkapan itu turut dirakam dan video berkenaan memperlihatkan beberapa anggota BNN menyerbu klinik terbabit sebelum bertanyakan lokasi MR kepada pihak berkenaan.
“Orangnya di mana?” soal seorang anggota.
Tidak lama kemudian, seorang lagi anggota kedengaran menjerit, “Hei, sini... sini... sini!”
Anggota BNN kemudiannya menuju ke sebuah bilik dan menemukan MR sedang terbaring di atas meja rawatan.
Lebih mencuri perhatian, ketika ditahan lelaki berkenaan hanya memakai pakaian pesakit berwarna merah jambu, dipercayai masih dalam proses menjalani rawatan.
MR sebelum ini menjadi buruan BNN selepas dikaitkan dengan kes pengedaran 98 kilogram syabu yang berjaya dibongkar pada 2025. Dia secara rasmi disenaraikan sebagai buruan BNN sejak 7 November 2025.
Selepas ditahan, MR dibawa ke Kampung Bahari bagi membantu pihak berkuasa mengesan barang bukti berkaitan rangkaian pengedaran dadahnya. Namun, operasi tersebut bertukar tegang apabila anggota BNN menerima tentangan daripada beberapa individu yang dipercayai merupakan orang kuat MR.
Dua individu yang didakwa sebagai pengikut setianya berjaya ditahan. Dalam serbuan di Kampung Bahari itu, BNN turut merampas pelbagai barang bukti termasuk ganja atau Gorilla, wang tunai, senjata api, sebilah samurai serta beberapa butir peluru.
Tidak cukup dengan itu, pihak berkuasa turut menyita aset milik “Bos Gendut” yang keseluruhannya bernilai sekitar RM9.8 juta, selain wang tunai sebanyak RM320,000.
Sebuah kereta BMW dan motosikal Vespa turut dirampas.
Susulan kekayaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah tersebut, MR turut berdepan kes Tindak Pidana Pencucian Uang (TPPU) atau pengubahan wang haram.