Sekilas
- Mohammad Aiman Affendi Azmi, pelajar tahun pertama UMK, bekerja setiap cuti semester untuk menampung yuran dan kelengkapan pengajian bagi meringankan beban ibu bapanya.
- Dia menghadapi cabaran kewangan terutama dalam membeli buku dan peralatan belajar, namun tetap berjimat-cermat dan fokus pada pelajaran tanpa mengabaikan tanggungjawabnya.
- Affendi menerima bantuan komputer riba melalui Program Santun Pelajar Mekdi oleh McDonald's Malaysia, yang membantu memudahkan pembelajaran dan meringankan beban kewangan.
Mahu meringankan beban ibu bapa, seorang pelajar tahun pertama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mohammad Aiman Affendi Azmi mendedahkan dirinya sanggup bekerja setiap kali cuti semester bagi menampung yuran dan kelengkapan pengajian.
Sebagai anak sulung daripada tiga adik-beradik, dia berbuat demikian kerana sedar ibu bapanya mempunyai banyak tanggungan dan komitmen lain.
Menurutnya, ibunya merupakan seorang suri rumah, manakala ayahnya merupakan seorang tukang mozek.
“Saya tak mahu membebankan ibu bapa saya. Banyak tanggungan. Setiap kali cuti semester, saya akan cari kerja kantin sekolah, kedai makan atau bekerja sekali dengan ayah saya,”tulisnya.

Bagi Affendi, kekangan kewangan merupakan antara cabaran terbesar sepanjang bergelar pelajar. Selain perlu membayar yuran pengajian, dia juga perlu menyediakan wang untuk membeli buku dan peralatan belajar.
Keadaan itu membuatkan dia perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan wang, malah terpaksa menahan diri daripada berbelanja bagi memastikan keperluan pengajian dapat dipenuhi.
“Cabaran saya sebagai seorang pelajar adalah dari segi peralatan belajar. Saya perlu beli banyak buku untuk yuran semua. Kena pandai uruskan duit walaupun tidak cukup. Saya perlu berjimat-cermat. Kena tahan diri,”ujarnya.
Walaupun berdepan kesukaran, pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Kesejahteraan) dengan Kepujian itu tidak mahu menjadikan masalah kewangan sebagai alasan untuk mengabaikan pelajaran.
Sebaliknya, Affendi mahu menggunakan peluang yang dimilikinya sebaik mungkin kerana sedar bukan semua orang berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
“Kalau kita sambung belajar, kita kena buat yang terbaik. Kita kena buktikan yang kita boleh pergi jauh seperti mana yang ibu bapa kita harapkan.
“Jangan belajar main-main kerana tidak semua orang mampu sambung belajar,”kongsinya.
Dalam pada itu, Affendi turut menerima bantuan sebuah komputer riba menerusi Program Santun Pelajar Mekdi anjuran McDonald's Malaysia bagi menyokong keperluan pembelajarannya.
Bantuan tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban Affendi dalam menyediakan kelengkapan pengajian, namun membolehkannya memberi tumpuan kepada pelajaran.
Menerusi program itu, McDonald's Malaysia berusaha membantu pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dan merealisasikan impian mereka.