Skip to main content

Berita

PU Rahmat Dakwa Dibogelkan Tiga Kali Ketika Ditahan Rejim Zionis

pu rahmat

Sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mendedahkan bahawa mereka menerima layanan tidak berperikemanusiaan daripada rejim Zionis, termasuk diperlakukan secara hina dan dimalukan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Hamas.

Pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, mengakui bahawa beliau dibogelkan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh penahanan atas alasan kononnya bagi memastikan tiada senjata tersembunyi pada badannya.

Advertisement

“Saya dibogelkan tiga kali. Pertama dalam kapal, kedua di imigresen dan ketiga di penjara. Semua kerana mereka (Zionis) takut kalau kami ada senjata,” katanya.

Rahmat Ikhsan mendedahkan perkara itu menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar di Facebooknya pada Isnin.

Menurutnya, tindakan tentera Israel itu menggambarkan bahawa mereka amat takut terhadap aktivis yang hanya membawa mesej keamanan dan kemanusiaan.

“Kita bukan orang tentera pun, tapi bila tengok cara mereka masuk kapal, nampak sangat mereka ketakutan. Gerakan mereka pun tak kemas, takut dengan bayang-bayang sendiri,” katanya.

PU Rahmat berkata, semasa berada dalam tahanan, beliau disoal siasat berulang kali oleh pihak risikan rejim Zionis dengan pelbagai pertanyaan berkaitan kumpulan Hamas dan Ikhwanul Muslimin.

“Dia tanya saya, kenal ke Hamas? Saya jawab, saya kenal Hamas, tapi saya lagi kenal humus. Lepas tu dia tanya pasal Ikhwanul Muslimin, saya terus jawab ayat al-Quran ‘Innamal Mu’minuna Ikhwan’ – memang kita semua bersaudara,” katanya berseloroh.

Beliau turut menceritakan insiden ketika Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, datang ke kawasan tahanan dan cuba memprovokasi para aktivis dengan menuduh mereka sebagai pembunuh.

“Dia datang provok kami, kata kami pembunuh anak-anak Yahudi. Tapi bila kami jawab balik ‘kau pembunuh anak-anak Palestin’, dia terus lari. Kalau berani sangat, lawanlah balik, tapi dia pun takut,” ujarnya.

Menurutnya, ketakutan itu menggambarkan perasaan bersalah yang mendalam dalam diri mereka kerana sedar akan kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Bangsa ini penuh ketakutan sebab mereka tahu mereka buat salah. Orang yang bersalah memang takut, sebab itu mereka paranoid,” katanya.

Rahmat Ikhsan turut mengaitkan ketakutan tentera Zionis itu sebagai tanda bahawa mereka tidak memiliki keberanian moral untuk berdepan dengan aktivis yang datang membawa mesej keadilan.

“Dari tentera sampai ke imigresen, semua takut. Menteri pun takut. Mereka takut pada kebenaran,” katanya.

“Kita berani sebab kita di pihak yang benar. Semoga kita semua kekal dalam kebenaran,” ujarnya

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement