Sekilas
- Radio Caroline di UK didapati melanggar piawaian penyiaran selepas tersilap menyiarkan laporan palsu mengenai kematian Raja Charles III pada Mei lalu.
- Kesilapan berlaku apabila fail pra-rakam yang disediakan untuk situasi kematian Raja Charles III dimainkan secara tidak sengaja oleh kakitangan semasa kerja penyelenggaraan.
- Ofcom mengesahkan pelanggaran dua peraturan kod penyiaran dan Radio Caroline telah mengambil tindakan segera termasuk memberi teguran kepada kakitangan terbabit serta memperbaiki prosedur penyimpanan fail.
Sebuah stesen radio di United Kingdom (UK) didapati melanggar piawaian penyiaran selepas tersilap menyiarkan laporan mengenai kematian Raja Charles III pada Mei lalu.
Perkara itu disahkan badan pengawal selia media UK, Office of Communications (Ofcom), selepas menerima dua aduan berhubung insiden berkenaan, lapor People.
Ironi, Raja Charles III masih hidup dan genap berusia 77 tahun pada 11 Ogos 2026.
Menurut laporan sama, insiden berlaku pada 19 Mei lalu apabila Radio Caroline menyiarkan tiga kenyataan pra-rakam yang mendakwa Raja Charles III telah meninggal dunia ketika program The Barry Marsh Show sedang ke udara.
Kenyataan tersebut disiarkan sehingga mengganggu siaran muzik seperti biasa.
Dalam kenyataan ketiga, stesen berkenaan mendakwa “media berita” telah mengesahkan kematian Raja Charles III sebelum lagu kebangsaan United Kingdom dimainkan.
Salah satu kenyataan kemudiannya diulang dan disusuli kira-kira 16 minit tempoh tanpa sebarang siaran.
Selepas itu, program seperti biasa kembali ke udara sebelum pengacara memohon maaf kepada pendengar kira-kira 30 minit kemudian dan mengesahkan bahawa Raja Charles III sebenarnya masih hidup.
“Saya baru dimaklumkan kami telah menyiarkan beberapa maklumat secara tidak sengaja sebentar tadi.
“Saya sendiri tidak mendengarnya, tetapi maklumat itu tidak benar. Ia berpunca daripada masalah teknikal dan sudah tentu kami memohon maaf,” katanya.
Menurut Radio Caroline, program berkenaan ketika itu disiarkan dari lokasi jauh, manakala seorang kakitangan sedang melakukan kerja penyelenggaraan pada komputer studio.
Ketika proses berkenaan, kakitangan terbabit menemui tiga fail yang telah disediakan khusus untuk digunakan sekiranya Raja Charles III meninggal dunia.
Ofcom berkata, Radio Caroline menjelaskan fail berkenaan disertakan “arahan ketat” yang perlu dipatuhi penyampai dan pengurus sebelum ia boleh disiarkan.
Bagaimanapun, atas rasa ingin tahu, kakitangan tersebut memainkan fail berkenaan sehingga menyebabkan siaran daripada lokasi pengacara terhenti dan ketiga-tiga kenyataan itu disiarkan kepada umum.
Selepas menyedari kesilapan yang berlaku, kakitangan berkenaan menghentikan siaran fail terbabit sebelum meninggalkan pejabat. Pengacara yang ketika itu sedang dalam satu panggilan telefon pula tidak menyedari bahawa fail berkenaan telah tersiar.
Selepas menyedari berlaku masalah pada siaran, pengacara menghubungi jurutera stesen yang ketika itu sudah mengetahui mengenai kejadian berkenaan dan sedang menjalankan siasatan.
Siaran kemudiannya ditukar semula kepada program asal.
Susulan itu, buletin yang dikeluarkan pada 10 Ogos, Ofcom memutuskan insiden berkenaan melanggar dua peraturan di bawah Kod Penyiaran.
Antara peraturan berkenaan menetapkan berita, dalam apa jua bentuk, mesti dilaporkan dengan ketepatan sewajarnya serta disampaikan secara adil dan tidak berat sebelah.
Peraturan kedua pula menetapkan kesilapan besar dalam laporan berita perlu diakui dan diperbetulkan menerusi siaran dalam tempoh yang sewajarnya.
Stesen radio berkenaan memberitahu Ofcom pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan pelbagai tindakan telah dilakukan dalam tempoh kira-kira 30 minit sebelum permohonan maaf dibuat kepada pendengar.
Mrereka turut menegaskan kakitangannya mengambil tindakan “sebaik sahaja mampu” selepas menyedari kesilapan tersebut.
Kakitangan yang memainkan fail berkenaan telah diberi teguran dan sudah memohon maaf atas tindakannya.
Radio Caroline turut memaklumkan semua fail berkenaan kini disimpan dalam pemacu keras luaran, manakala penyampai dan kakitangan lain telah diingatkan semula mengenai prosedur berkaitan.
Radio Caroline merupakan stesen yang kebanyakannya memainkan lagu-lagu dari era 1960-an hingga muzik terkini. Pihak stesen belum memberi respon mengenai insiden tersebut.